Jangan riak dengan kekuatan BN: TPM

LUNDU - Penyokong Barisan Nasional (BN) tidak harus riak, takbur dan terlalu yakin dengan kekuatan parti itu sehingga membuatkan mereka lalai dan tidak keluar mengundi pada 18 Februari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sikap terlalu yakin itu hanya akan menjejaskan peluang BN untuk menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjong Datu.


Beliau berkata, rakyat sentiasa melaungkan sokongan kepada Allahyarham Tan Sri Adenan Satem dan ia harus diterjemahkan kepada sokongan padu kepada calon yang menggantikan pemimpin disegani itu.

"Pastikan pengundi di Tanjong Datu ini termasuk mereka yang tinggal di luar kawasan supaya keluar beramai-ramai pada hari pengundian.

"Inilah cara kita menunjukkan sokongan padu kepada segala usaha yang dibuat Allahyarham Tan Sri Adenan membangunkan kawasan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Mesra Bersama Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di sini, semalam.

Ahmad Zahid berkata, pemilihan Puan Sri Jamilah Anu untuk mewakili BN di kawasan itu adalah langkah tepat dan pengundi di kawasan itu harus memberinya peluang untuk meneruskan kerja-kerja Allahyarham Adenan yang tertangguh.

Katanya lagi, 4,000 anggota RELA di kawasan Tanjong Datu juga seharusnya memberi sokongan padu kepada balu Ketua Menteri kelima itu yang pernah menjadi pegawai RELA sebelum mendirikan rumah tangga dengan Adenan.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada