Zahid Ucap Tahniah Kepada KM Sarawak Baharu

KUNMING, CHINA – Pelantikan Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai Ketua Menteri Sarawak yang baharu pastinya bukan datang sebagai satu keistimewaan tapi satu amanah yang harus dipikul dengan penuh tanggungjawab, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau, dalam menyampaikan sekalung tahniah kepada Abang Johari, berkata ini kerana rakyat Sarawak amat dahagakan terjemahan pelaksanaan akujanji Barisan Nasional (BN) yang dibuat semasa kempen pilihan raya sebelum ini.


“Saya akan bantu Yang Amat Berhormat Datuk Amar dalam menterjemahkan pelaksanaan akujanji-akujanji itu yang turut diperakui kerajaan pusat, dan akan bantu Perdana Menteri memantau akujanji-akujanji berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini mengadakan perjumpaan dengan Pemangku Gabenor Wilayah Yunnan, Ruan Chengfa di Hotel Haigen Garden di sini hari ini.

Katanya, beliau berharap seluruh rakyat Sarawak akan memberi sokongan padu kepada kepimpinan Abang Johari, yang menurutnya merupakan satu kesinambungan kepada kepimpinan cemerlang Allahyarham Tan Sri Adenan Satem.

Ahmad Zahid berkata secara peribadi beliau mengenai Abang Johari semasa dalam barisan kepimpinan Pemuda BN sekitar 1980-an dan beliau mengenalinya bukan hanya sebagai kenalan politik sahaja, tetapi juga sebagai sahabat.

“Kami mempunyai fikrah atau fikiran yang kami kongsi bersama dalam aspek politik, dan juga pegangan falsafah kami, sebagai insan yang mahu melihat negeri dan negara terus dimakmurkan,” katanya.

Katanya, beliau yakin dengan keakraban hubungan parti komponen BN dapat terus menyokong kepimpinan baharu Sarawak itu.

“Saya yakin dia akan mendapat sokongan padu daripada rakan-rakan dalam BN dan juga kerajaan negeri Sarawak,” katanya.

Ahamd Zahid tiba di sini dari Beijing pagi ini bagi meneruskan rangka lawatan kerja enam hari ke China.

-UMNO Online

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada