Perbadanan Koko Dan Kelapa Akan Gantikan Lembaga Koko Malaysia, Kata Ahmad Zahid

BAGAN DATUK - Perbadanan Koko dan Kelapa Malaysia akan diwujud bagi menggantikan Lembaga Koko Malaysia dalam usaha meningkatkan pengeluaran kelapa di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, pihaknya telah mengadakan rundingan dengan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong supaya memasukkan kelapa sebagai komoditi dan tanaman pertanian di dalam Akta Perbadanan Koko Malaysia 1998.

"Kertas kerja kementerian berkenaan akan diserahkan kepada jemaah Menteri bagi memasukkan kelapa sebagai komoditi selain daripada koko (di dalam akta berkenaan).

"Ia juga bertujuan untuk memasukkan kelapa dan menukar nama serta fungsi lembaga itu supaya tidak hanya tertumpu kepada koko yang industrinya agak malap di negara ini sebaliknya memasukkan kelapa," katanya.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pengisytiharan daerah Bagan Datuk yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika diminta mengulas perusahaan kelapa di negara ini, khususnya di Bagan Datuk yang semakin berkurang.

Beliau juga, katanya, akan meminta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi untuk menyegerakan peruntukan benih kelapa matag yang lebih cepat keberhasilannya berbanding 'Malayan Tall' atau 'kelapa tinggi.

Ahmad Zahid yang juga anggota Parlimen Bagan Datuk berkata, ketika ini negara mengimport kira-kira 1.5 juta biji kelapa setahun.

"Saya akan memantau perkara (penanaman kelapa matag) supaya ia bukan sahaja untuk Bagan Datuk tetapi daerah lain seperti Sabak Bernam, Kuala Selangor, Kudat, Pontian serta Batu Pahat yang banyak menanam kelapa," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada