Pembangkang Guna NGO Jatuhkan Zahid Pada PRU-14

PUTRAJAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gerakan untuk menjatuhkannya sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh pada pilihan raya umum akan datang didalangi sebuah parti pembangkang dengan menggunakan beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengenal pasti parti politik dan NGO terbabit. "Usaha (menjatuhkan) bukan dari dalam apatah lagi parti komponen Barisan Nasional (BN).

Memang jadi tugas pembangkang untuk menjatuhkan mana-mana calon BN tapi di Bagan Datoh, mereka gunakan NGO dan kumpulan untuk tentukan saya 'tercabut' dari akar sokongan.

"Saya mengingatkan parti komponen BN sebelum ini yang kita bukan saja perlu mempertahankan diri tapi bersiap siaga menghadapi apa jua serangan yang menggunakan organisasi dan individu untuk merobek segala sokongan kepada ahli BN yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14)," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penganugerahan dan Pemakaian Pangkat Kehormat Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) kepada 38 ahli Mesyuarat Pengurusan Tertinggi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini, hari ini.

Sabtu lalu, Ahmad Zahid mendedahkan ada gerakan untuk menjatuhkan beliau sebagai Ahli Parlimen Bagan Datoh pada PRU-14.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang disyaki terbabit dalam gejala rasuah.

"SPRM bukan hanya setakat 'diperundangkan' tetapi mempunyai kuasa mutlak untuk memburu sesiapa sahaja sama ada ahli politik, ahli perniagaan atau pemegang-pemegang syarikat," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada