Pelarian Rohingya akan dijadikan aset - TPM

KUALA LUMPUR - Kerajaan sedang merancang untuk menjadikan pelarian Rohingya yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini sebagai aset tenaga kerja negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, penukaran status mereka yang selama ini dianggap tanggungan itu diharap dapat membantu sebagai tenaga kerja dalam sektor memerlukan.

Ketika ini, dianggarkan sekitar 55,000 pelarian berdaftar berada di Malaysia dan menurut Ahmad Zahid, setiap daripada mereka berpeluang bekerja di negara ini.

"Kita akan berikan kemudahan, pertamanya untuk diberikan latihan dalam bidang separa mahir yang akan kita perincikan pelaksanaannya supaya mereka juga dapat diberi peluang pekerjaan dengan terus memegang kad Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

"Ia supaya kita dapat tukarkan status mereka daripada menjadi liabiliti selama ini kepada aset iaitu menjadi tenaga kerja tambahan mengikut keperluan bidang-bidang tertentu yang diizinkan mengikut perundangan," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) semalam.

Ahmad Zahid memberitahu perkara itu sedang dalam perincian dan akan dimaklumkannya dalam masa terdekat.

Sementara itu ketika diminta mengulas mengenai persetujuan Hamas dan Fatah untuk membentuk kerajaan gabungan, Ahmad Zahid berkata, ia satu langkah yang disarankannya dalam pertemuannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemimpin Hamas, Khaled Mashal semasa Perhimpunan Agung UMNO tempohari.

Pada masa sama, beliau menyeru dunia untuk bersama menolak usaha meletakkan kedutaan daripada Tel Aviv ke Jerusalem.

"Ini seolah-olah memberi pengiktirafan kepada pencerobohan Israel di Palestin sedangkan Resolusi 2334 Majlis Keselamatan PBB memutuskan supaya perjanjian persempadanan mengikut garis 1967 itu hendaklah dipatuhi Israel.

"Dalam hal ini Malaysia komited, bukan hanya dalam menentukan resolusi itu dilaksanakan tetapi kita meminta masyarakat antarabangsa terutamanya menggunakan platform OIC untuk menentukan bahawa jika ada tindakan demikian, masyarakat antarabangsa perlu menolak," ujarnya

-AstroAwani

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada