TPM sumbang RM25,000 untuk Tabung Rohingya Utusan-TH

KUALA LUMPUR - Penderitaan dan kesengsaraan etnik minoriti Islam Rohingya yang berhadapan dengan penghapusan kaum di wilayah Rakhine, Myanmar terus mendapat perhatian.

Terbaharu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menghulurkan sumbangan peribadi berjumlah RM25,000 untuk Tabung Rohingya Utusan-TH yang ditubuhkan Kumpulan Utusan pada 1 Disember lepas.


Sumbangan berkenaan telah disampaikan oleh Setiausaha Politik beliau, Dr. Ahmad Masrizal Muhammad kepada Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas dalam satu majlis ringkas yang diadakan di ibu pejabat syarikat ini di sini hari ini.

Menurut Ahmad Masrizal, Ahmad Zahid terpanggil untuk menghulurkan sumbangan berkenaan bagi menunjukkan semangat solidariti dalam usaha membantu membela nasib etnik berkenaan dan sebagai menyokong inisiatif yang dijalankan oleh Kumpulan Utusan.

"Ahmad Zahid menyeru agar semua pihak turut sama dalam usaha ini bagi menjadikan suara Malaysia terus didengar oleh dunia walaupun negara kita ini kecil.

"Timbalan Perdana Menteri juga terpanggil untuk memberikan sumbangan kerana bagi beliau, usaha untuk membela nasib etnik Rohingya perlu diseiringkan dengan tindakan tegas oleh masyarakat," ujar Ahmad Masrizal kepada Utusan Online.

Menyentuh perkara sama, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Noordin Abbas pula berkata, usaha untuk membela nasib etnik Rohingya tidak terbatas kepada agama mahupun bangsa.

"Inisiatif yang dimulakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ini turut mendapat sokongan daripada pelbagai golongan masyarakat termasuklah pertubuhan penganut Buddha sendiri.

"Mereka menyatakan bahawa pembelaan etnik Rohingya ini merupakan tanggunjawab bersama dan perlu diberikan sokongan oleh semua pihak," kata beliau.

Noordin dalam masa memaklumkan, setakat ini tabung berkenaan telah berjaya mengumpulkan bantuan dalam bentuk tunai dan barangan keperluan berjumlah lebih RM300,000.

-UTUSAN ONLINE

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada