Tolak anasir gugat keharmonian – TPM

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyeru seluruh rakyat supaya menolak sebarang cubaan untuk menggugat keharmonian negara.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, mereka mesti mempertahankan semangat toleransi antara masyarakat pelbagai kaum dan agama daripada serangan oleh anasir dari dalam dan luar.


Menurut beliau, perkara itu amat penting kerana toleransi beragama merupakan tonggak keharmonian yang menjadikan rakyat saling menghormati dan memahami antara satu sama lain.

“Keamanan bukan mudah untuk dicipta dan keharmonian bukan sesuatu yang mudah untuk dipertahankan kalau kita tidak dapat merasai dan memahami setiap kaum di Malaysia,” katanya ketika berucap menyampaikan perutusan pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2016 di Bukit Bintang di sini malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem; Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. M. Loga Bala.

Majlis sambutan tersebut diisi pelbagai acara kebudayaan yang menarik dengan menampilkan watak-watak kisah dongeng yang digemari kanak-kanak.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menambah, Malaysia merupakan satu-satunya negara di dunia yang memberi komitmen untuk menyambut semua perayaan yang disambut rakyatnya.

Beliau berkata, usaha murni itu dilaksanakan melalui inisiatif Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan yang menjadikan setiap sambutan perayaan sebagai acara yang kreatif.

“Kehadiran ramai pengunjung malam ini adalah manifestasi kepada sokongan kepada usaha kerajaan mempertahankan kebebasan beragama,” jelasnya.

Ahmad Zahid turut menggalakkan rakyat menyokong kempen #SayangMalaysia yang dilancarkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan bagi mempromosikan kegiatan pelancongan di negara ini.

-Utusan

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada