Institusi Penghulu Perlu Ditransformasi Selari Perkembangan Semasa

IPOH - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu institusi penghulu dan penggawa ditransformasi supaya kekal relevan selari dengan perkembangan semasa.

Beliau berkata walaupun institusi berkenaan adalah satu institusi tradisional, namun peranan dan sumbangannya dalam menghubungkan masyarakat dengan kerajaan tidak dapat dinafikan.

"Sesuatu harus dilakukan bukan hanya dengan mentransformasi institusi itu, tetapi dengan pelbagai pendekatan sesuai termasuk dari segi komunikasi.

Sistem komunikasi di era Generasi X kini telah berubah. Lapan puluh tujuh peratus kaedah komunikasi adalah dengan 'komunikasi bukan lisan', hanya 13 peratus dilakukan dengan cara bersemuka," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Kesatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia Ke-42 di sini.

Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata beliau akan mencadangkan kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak supaya semua penghulu dan penggawa di negara ini diberikan gajet canggih secara percuma.

"Ini (gajet) canggih penting untuk menterjemahkan modenisasi serta transformasi institusi penghulu dan penggawa di negara ini.

Saya sendiri akan menyarankan (beri gajet percuma) kepada beliau (Salleh) kerana perubahan sistem komunikasi didambakan oleh kita semua," katanya sambil diberi tepukan oleh para penghulu dan penggawa yang hadir.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid turut menyarankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) supaya memperuntukkan dana hasil kutipan daripada syarikat telekomunikasi (telco) bagi menganjurkan kursus komunikasi kepada penghulu dan penggawa.

Timbalan perdana menteri dalam pada itu mahu skim perjawatan bagi penghulu dan penggawa dinaik taraf selaras dengan tugas serta tanggungjawab mereka yang semakin mencabar.

Beliau juga mahu 707 perjawatan yang ada bagi penghulu dan penggawa seluruh Semenanjung diisi kerana setakat ini hanya 606 perjawatan sahaja telah diisi.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi