Anggota Komponen BN Mesti Setia Sokong Calon Parti - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Anggota parti komponen mesti mempunyai 'DNA' Barisan Nasional (BN) bagi memastikan kesetiaan untuk menyokong calon perikatan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Semestinya, apa yang penting adalah parti komponen kita perlu menggamit semula DNA parti mengikut keahlian parti masing-masing, bukannya mereka menjadi DNA parti tetapi menyokong calon parti pembangkang," katanya.


Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata demikian dalam sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini yang turut dihadiri Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata UMNO dan setiap parti komponen BN perlu melipatgandakan usaha dalam memasang strategi mempersiap jentera masing-masing menghadapi PRU14.

"Saya telah seru dan bangkitkan perkara ini ketika merasmikan persidangan sayap sebelum ini. Kita mahukan UMNO dan komponen bekerja sekuatnya. Bukan bekerja hanya untuk UMNO atau kawasan yang ditandingi tetapi untuk semua. Saya harap akan ada perubahan drastik selepas ini," katanya.

Sementara itu, Hishammuddin berkata, parti komponen tidak mempunyai pilihan untuk memastikan calon yang ditampilkan menang kecuali perlu menyelaras gerak kerja bersama untuk mendepani pilihan raya umum.

"Kita sudah lakukan ini sejak dahulu lagi dan memang tidak ada pilihan jika mahu melihat calon BN menang dalam PRU.

"Di kawasan saya sendiri (Parlimen Sembrong), MCA dan MIC sentiasa bekerjasama dan bersatu padu dengan UMNO untuk terus mencari pendekatan dan kaedah sesuai bagi memenangi pilihan raya," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada