UMNO bukan rasis, komponen BN jangan gundah gulana - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO bukan rasis kerana mengamalkan politik anjal yang fleksibel dengan situasi atau suasana kini.

Naib Presiden yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO itu berkata, UMNO masih tegar mempertahankan teras politik kongsi kuasa.

Katanya, semangat 1Malaysia, dipegang erat dan kemas oleh UMNO demi memastikan legasi perjuangan yang diterokai bersama oleh pimpinan pelbagai kaum terdahulu dapat diteruskan sehingga sekarang.

"UMNO bersifat memayungi kaum bukan Melayu atas prinsip sebumbung senegara. UMNO bukan rasis," katanya dalam ucap merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di Dewan Merdeka di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, sesungguhnya, UMNO bukan hanya untuk orang Melayu dan Bumiputera sahaja.

Katanya, UMNO juga memperjuangkan hak semua bangsa dan kaum walaupun fakta membuktikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ditolak oleh rakyat bandar yang majoritinya bukan Melayu.

"UMNO bukan bertindak berdasarkan retorika politik tetapi telah membuktikannya dengan tindakan memastikan jaminan politik kepada rakan-rakan komponen yang lain.

"Saya berharap, kedudukan UMNO sebagai parti politik tulang belakang BN tidak dipandang serong oleh rakan-rakan kita.

"Ayuh semua Wanita, Pemuda dan Puteri, bantulah parti untuk mengkhabarkan kepada semua yang berada di luar sana, bahawa parti UMNO telah berjaya membuktikan relevannya dalam konteks politik nasional, " katanya.

Beliau turut mengajak rakan komponen BN yang lain bekerja sekuat UMNO.

"Ayuh, kita sama-sama berganding bahu. Ayuh kita sama-sama perkuatkan kekuda perjuangan kita bagi membolehkan kita melawan sesiapa saja yang cuba meruntuhkan kerajaan kita pada hari ini," katanya.

Sehubungan itu, katanya rakan BN janganlah bergundah-gulana dengan semangat kesetiakawanan UMNO.

"Marilah kita bertekad untuk bersama-sama berjuang dan mempertahankan BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU ke-14) akan datang, " katanya.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada