Sekular Tidak Bertempat, Kesukuan, Turut Dorong Ekstremisme - Zahid

OXFORD (United Kingdom) - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ekstremisme, radikalisme dan keganasan bukan sahaja didorong oleh kesesatan orientasi keagamaan, tetapi juga oleh sekular yang tidak kena pada tempatnya, kesukuan dan gabungan kepentingan manusia lain.

Timbalan Perdana Menteri berkata komuniti dunia perlu menggalas tanggungjawab untuk mengislah semula semua elemen trend negatif dengan menangani kedua-dua faktor dalaman dan luaran secara serentak dan dengan bersungguh-sungguh.

"Ekstremisme, radikalisme, dan terutamanya keganasan sentiasa dikutuk dalam ajaran dan amalan Islam tradisional. Walau bagaimanapun, tanggungjawab terhadap ajaran-ajaran sesat dan tindakan dahsyat minoriti yang sangat kecil daripada sebuah kumpulan tidak harus diletakkan di bahu majoriti yang tidak bersalah.

"Tindakan sedemikian bukan sahaja tidak adil tetapi juga akan membayangkan satu bentuk ekstremisme, bahkan keganasan," katanya ketika menyampaikan ucaptama bertajuk Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme di Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS), Oxford University di sini pada Rabu. Syarahan itu dihadiri para cendekiawan dan tetamu undangan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ini secara tidak sengaja akan menjadi alasan berguna kepada ekstremis sebenar dan pengganas untuk mewajarkan ketidakpercayaan mereka terhadap pendapat majoriti, dan undang-undang serta konvensyen antarabangsa, dan untuk merekrut ahli baharu mereka di seluruh dunia.

Timbalan Perdana Menteri yang sedang melakukan lawatan kerja lima hari ke United Kingdom sejak Isnin, berkata terdapat banyak faktor saling berkait yang membawa kepada ekstremisme, radikalisme, peperangan dan keganasan.

Beliau berkata dalam dunia globalisasi, kesan radikalisme dan ekstremisme terhadap hubungan dan keselamatan antarabangsa tidak hanya terhad kepada umat Islam tetapi juga kepada mereka yang menganut agama lain dan ideologi sekular, namun ia sering kali disalahertikan atas nama agama, ideologi, Raja, negara, kesucian etnik dan bahasa, bahkan Kemanusiaan.

Sambil memberi beberapa contoh untuk membuktikan fakta berhubung punca radikalisme, Ahmad Zahid berkata Perang Dunia Pertama dan Kedua serta perang Korea dan Vietnam boleh dikaitkan terutamanya di atas sebab-sebab ideologi manakala Tragedi Balkan pula pada asasnya berdasarkan atas alasan etnik-agama.

Beliau berkata pembunuhan beramai-ramai di negara majoriti Kristian Rwanda sebahagian besarnya didorong oleh fahaman berpuak; perang saudara Uganda disebabkan terutamanya oleh agama Kristian radikal, pembunuhan beramai-ramai umat Islam di Ivory Coast adalah diakibatkan oleh etnik-agama, yang dilakukan oleh orang asli dan Kristian.

Bagaimanapun, katanya dunia kini memberi tumpuan kepada pengislahan ektremis Muslim, keganasan dan radikalisme dan fenomena ini telah memangsakan bukan sahaja orang yang disasarkan secara langsung, tetapi juga umat Islam di seluruh dunia dan menyemarakkan perasaan Islamo-phobia, katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata pengislahan ekstremisme, radikalisme, dan keganasan di kalangan sebilangan kecil umat Islam melibatkan pemahaman yang betul dan tajam terhadap sebab-sebab sebenar dalaman dan luaran mereka, dengan penggunaan pendekatan yang bijak dan konsisten serta pelbagai dimensi dalam pencegahan, pembetulan dan hukuman.

Berkongsi pengalaman Malaysia dalam pengislahan radikalisme, ekstremisme dan keganasan, Ahmad Zahid berkata Malaysia menggunakan pendekatan serampang tiga mata dan saling berkait iaitu pendidikan; undang-undang; dan ekonomi serta sosial.

Ahmad Zahid berkata sistem pendidikan Malaysia ketika ini daripada yang paling rendah hingga ke peringkat tertinggi telah secara relatifnya berjaya mewujudkan rakyat pelbagai budaya yang berpendidikan, beragama-beretika, mahir dan bersatu.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan terus mengukuhkan ciri-ciri positif, menyemak dan membetulkan apa-apa kekurangan dan kecacatan serta menambah ciri-ciri baharu untuk menangani cabaran masa depan yang bakal muncul.

Beliau berkata pada masa sama, Malaysia juga perlu mentradisionalisasi semula kandungan sistem pendidikannya dengan mengukuhkan pandangan tradisional Islam seperti yang dipersetujui oleh majoriti terbesar ulama tradisional berwibawa dalam pelbagai bidang pemikiran dan kebudayaan Islam.

Mengenai undang-undang, beliau berkata Malaysia telah memperkenalkan undang-undang yang berkaitan iaitu Akta Pencegahan Jenayah 2015 (POTA) dan Langkah-Langkah Khas terhadap Keganasan dalam Akta Negara Asing 2015 (SMATA). Kedua-dua undang-undang selaras dengan semangat dan tujuan mengikut Resolusi Majlis Keselamatan PBB (UNSCR) 2178 terutamanya dalam memantau dan mengawal selia Militan Pengganas Asing (FTF).

Ahmad Zahid berkata Malaysia terus bekerjasama rapat dengan negara-negara lain dan pertubuhan antarabangsa dalam meningkatkan keselamatan sempadan untuk mengekang pergerakan pengganas.

Beliau berkata strategi deradikalisasi di Malaysia memerlukan kerjasama strategik antara kerajaan, masyarakat awam termasuk sektor swasta, untuk mengekang individu-individu atau kumpulan individu-individu daripada terbabit dalam 'aktiviti' radikalisme / ekstremisme di dalam atau di luar negara.

"Untuk mengislah ekstremisme, radikalisme dan keganasan dalam apa jua bentuk secara konsisten dan berjaya, kita perlu mengekalkan, atau sebenarnya meningkatkan perpaduan sosio-politik, integriti dan kestabilan negara. "Kita juga perlu mengharungi cabaran ekonomi semasa yang dihadapi oleh semua negara di seluruh dunia. Keadaan ini saling berkait antara satu sama lain, dan ia bergantung kepada orientasi rohani yang betul dan kompas etika dan moral rakyat terutama kepimpinan di semua peringkat," katanya.

Ahmad Zahid menggesa umat Islam di seluruh dunia supaya menggunakan segala sumber yang ada dan bekerjasama dengan semua pihak untuk mencegah dan membendung trend ini, serta memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus menjadi penggiat penting dalam tugas terpuji ini.

"Kita mesti merapatkan barisan, dan meminimumkan perbezaan. Kita mesti menumpukan sepenuh perhatian kepada pengislahan ancaman ekstremisme, radikalisme, dan keganasan. Kita tidak seharusnya teragak-agak dalam pendirian kita, dan tidak perlu mengalih perhatian daripada perjuangan kita," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada