Saya akan bisik tambah calon tiga sayap - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR: Sayap UMNO diingatkan supaya tidak berasa khuatir mengenai pemilihan calon dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, beliau akan membisikkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Najib Razak untuk menambah calon daripada pergerakan tiga sayap UMNO.

"Kepada Kak Ijat (Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil), adinda Khairy (Jamaluddin Abu Bakar) dan anakanda Ermie (Datuk Mas Ermieyati Samsudin) usahlah khuatir.

"Pada PRU ke-14 nanti, saya sendiri akan membisikkan dan membisikkan lagi kepada Presiden kita untuk menambah bilangan calon, dalam kalangan tokoh yang berada dalam ketiga-tiga pergerakan sayap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap buat julung kalinya merasmikan Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam ini.

Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, bagi memastikan perkara itu dapat direalisasikan, Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah terus taat dan setia kepada parti serta pemimpin.

"Buktikan kepada kepemimpinan, dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera dalam sayap-sayap pergerakan masing-masing.

"Saya pasti, Presiden parti adalah seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah," katanya.

Katanya, beliau berbangga kerana pada PRU ke-13 yang lalu, seramai 33 orang calon Wanita, 26 orang calon Pemuda dan lapan orang calon Puteri berjaya menjadi Ahli Yang Berhormat sama ada sebagai Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Terdahulu, Ahmad Zahid menggariskan lapan cabaran yang perlu diatasi UMNO jika mahu menjadi parti yang terus relevan, inklusif dan diterima rakyat.

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada