Pegawai Kanan PDRM Akan Timba Pengalaman Keselamatan Sempadan Di Scotland Yard

LONDON - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pegawai kanan polis Malaysia telah ditawarkan tempat di Scotland Yard untuk menimba pengalaman polis United Kingdom dalam bidang kawalan dan keselamatan sempadan.

Tawaran itu, katanya, dibuat oleh Pesuruhjaya Polis Metropolitan London Sir Bernard Hogan-Howe dalam satu pertemuan dengan beliau di sini pada Isnin.

Bercakap kepada wartawan Malaysia di sini, Ahmad Zahid yang sedang dalam rangka lawatan kerja lima hari ke United Kongdom mulai Isnin, berkata dalam pertemuan itu Hogan-Howe telah memberi pandangan mengenai usaha-usaha polis metropolitan di UK selain berkongsi maklumat mengenai aktiviti keganasan, jenayah dan keselamatan sempadan.

"Kami telah ditawarkan supaya pegawai kanan polis ditempatkan untuk beberapa tempoh tertentu untuk menimba pengalaman di Scotland Yard," katanya.

Ahmad Zahid berkata Malaysia harus belajar tentang aspek kawalan sempadan di UK kerana mereka juga menghadapi masalah dari segi kemasukan pendatang dari negara-negara luar melalui negara Kesatuan Eropah (EU) terutamanya melalui jalan laut berbanding jalan darat dan pintu masuk udara yang mudah untuk dipantau.

"Ini yang harus dipelajari oleh pihak Malaysia kerana mana-mana pendatang yang masuk melalui jalan laut di Malaysia kebanyakannya tidak mempunyai dokumen dan pemantauan harus dilakukan 24 jam.

"Jika negara seperti UK menghadapi masalah tentulah Malaysia juga tidak kurang daripada menghadapi masalah yang sama tapi atas perkongsian maklumat yang ada di antara kedua-dua negara, kita yakin kerjasama ini akan mempertingkatkan aspek kawalan di kawasan sempadan perairan Malaysia," katanya.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau akan berbincang dengan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk menentukan tarikh sesuai bagi penghantaran pegawai kanan polis Malaysia ke Scotland Yard bagi tujuan itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata polis UK juga berminat untuk belajar daripada Malaysia dalam bidang yang sama dan pemantauan kegiatan keganasan termasuklah soal penyaluran dana kepada organisasi atau individu yang terlibat dalam kegiatan itu.

Ahmad Zahid yang turut melawat Penjara Belmarsh di bahagian Barat London selepas itu, telah diberi penerangan mengenai usaha pihak berkuasa UK untuk memulihkan tahanan di situ yang terlibat dengan kegiatan keganasan di negara itu.

Pihak penjara itu, kata beliau, telah menempatkan seorang imam yang mempunyai ijazah tentang pengetahuan Islam yang mendalam untuk tugas pemulihan dan deradikalisasi terhadap tahanan terbabit.

Malaysia, katanya, turut berkongsi pengalamannya dengan pihak penjara itu melalui program deradikalisasi yang telah digunakan sejak 1948 untuk menghadapi ancaman pengganas komunis.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi