Malaysia Saran UK Lantik Mufti

LONDON - United Kingdom (UK) berminat mendalami konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang menjadi amalan umat Islam Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara itu adalah antara isu dibincangkan bersama Setiausaha Hal-Ehwal Dalam Negara UK, Amber Rudd, dalam pertemuan di sini, lewat petang semalam.

Ahmad Zahid berkata, Malaysia mencadangkan seorang mufti di peringkat nasional dilantik bagi membolehkan interaksi dalam kalangan pengikut pelbagai mazhab dilakukan.

"Saya cadangkan perbezaan mazhab antara umat Islam di UK diperhalusi dan dicari persamaan demi manfaat bersama.

"Keadaan akan menjadi lebih mudah jika kita mencari persamaan dan bukannya memberi tumpuan terhadap perbezaan.

"Dalam konteks ini, mungkin pelantikan mufti di peringkat nasional boleh dilakukan supaya program kesederhanaan dapat dijalankan, selain menjadi platform pengikut mazhab berbeza mencari persamaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis makan malam bersama kira-kira 400 orang Diaspora Malaysia di Park City Grand Plaza di sini, malam tadi.

Hadir sama, Pesuruhjaya Malaysia ke UK, Datuk Ahmad Rasidi Hazizi.

Ahmad Zahid berada di UK sempena lawatan rasmi lima hari bermula kelmarin.

Hari ini, beliau dijadual menyampaikan syarahan bertajuk `Pengislahan Radikalisme dan Ekstremisme' di Auditorium Malaysia Pusat Pengajian Islam Oxford (OCIS) universiti terkemuka itu.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi