Industri filem animasi tempatan perlu tembusi pasaran global - TPM

PETALING JAYA - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, industri filem animasi tempatan perlu menembusi pasaran global sejajar Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Timbalan Perdana Menteri berkata matlamat itu boleh dicapai menerusi sokongan Kementerian Komunikasi dan Multimedia, jabatan dan agensi kerajaan berkaitan industri perfileman.

"Kita mahu apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) mengumumkan GN50, filem animasi akan berada di peringkat global kerana kita mahu hasil kreativiti penggiat filem itu diterima di peringkat antarabangsa.

"Sebab itulah saya bersama isteri (Datin Seri Hamidah Khamis), anak dan cucu berada pada majlis pelancaran animasi Upin & Ipin Jeng Jeng, malam ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan tayangan perdana filem Upin & Ipin Jeng Jeng di eCurve Damansara, di sini, malam ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Ahmad Zahid berkata, kerajaan amat menyokong filem animasi kerana potensi cukup tinggi menembusi pasaran serantau dan antarabangsa.

Katanya, Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) perlu membantu penerbitan filem itu menerusi penyaluran dana lebih banyak bagi memastikan kutipan diperoleh juga tinggi.

"Walaupun difahamkan ketika ini dana agak kurang, pada masa depan kita harap ia dapat ditingkatkan kerana filem ini mempunyai masa depan yang cerah.

"Tahun lalu, nilai eksport animasi tempatan adalah RM101 juta, manakala nilai jualan RM127 juta. "Lebih menarik Upin & Ipin diterima baik di peringkat antarabangsa termasuk menembusi saluran Disney, " katanya.

Upin & Ipin Jeng Jeng adalah filem usahasama Les ' Copaque Production dan KRU Studio untuk menaikkan kembali industri filem tempatan yang dilihat semakin merudum.

Filem ini merealisasikan impian kanak-kanak untuk melihat cerita Upin dan Upin dilakonkan di alam nyata.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada