TPM Mahu Suruhanjaya Siasatan Ditubuhkan Siasat Kebakaran Di HSA

JOHOR BAHRU - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu Suruhanjaya Siasatan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) hari ini yang mengorbankan enam nyawa.

"Hasil siasatan itu kemudiannya akan digunakan sebagai panduan kepada semua hospital di negara ini terutama bagi hospital yang perlu diubah suai atau dinaik taraf," katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi kebakaran dan menziarahi anggota keluarga mangsa.

Beliau menyentuh kepentingan aspek penyelenggaran termasuk sistem pendawaian dan keperluan menaik taraf struktur bangunan di hospital bagi mengelak kejadian serupa berulang.

Beliau menarik perhatian bahawa satu lagi perkara yang perlu diberi tumpuan ialah jalan-jalan menuju ke hospital.

Ahmad Zahid berharap Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam dapat membentangkan satu laporan penuh dalam mesyuarat Kabinet minggu hadapan.

Timbalan perdana menteri memuji usaha barisan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang bertindak segera membantu mangsa, pesakit dan orang ramai di HSA.

"Kami di kerajaan pusat akan membantu sebaik boleh yang kita mampu lakukan. Diharapkan pada mesyuarat Kabinet minggu depan Datuk Seri S. Subramaniam akan dapat membentangkan (laporan penuh) supaya tindakan susulan dapat dibuat segera".

Ahmad Zahid turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukan penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat, Polis Diraja Malaysia dan kakitangan di HSA yang mengambil tindakan awal menyelamatkan mangsa dan memindahkan pesakit-pesakit ke tempat selamat.

Bagi memastikan HSA kembali beroperasi secara normal, tindakan segera jangka pendek yang akan diambil adalah menyediakan kemudahan ICU di satu lokasi hospital itu yang lengkap dengan peralatan secukupnya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi