Tahap berhati-hati di lapangan terbang seluruh negara - TPM

KUALA LUMPUR: Lapangan terbang seluruh negara kini berada pada tahap berhati-hati bagi mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini terutama yang melibatkan isu keselamatan.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid, ketika ini, kerajaan bersiap-sedia dalam memastikan keselamatan orang ramai di lokasi berkenaan termasuk di kawasan kargo.


"Mulai 1 April lalu, kita telah mendapat satu petanda bahawa lapangan terbang kita berada pada tahap berhati-hati dan mesyuarat pelarasan telah melakukan kesiapsiagaan di lapangan terbang dan kita turut melihat di kawasan kargo yang juga penting," katanya semasa menjawab soalan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Tambahnya lagi, Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) juga perlu diteruskan dalam memastikan keselamatan di pintu sempadan negara.

"Sejak ada Strategi Lautan Biru Kebangsaan, langkah diambil melalui pelbagai kementerian, agensi, dan sebuah jawatankuasa dipengerusikan Perdana Menteri dan saya yang turut aktif melakukan pelarasan. Hasilnya, segala kekangan telah dapat kita atasi dengan sebaiknya, dan kaedah ini harus diteruskan," kata beliau.

Mengulas pencerobohan lanun di perairan Sabah, Ahmad Zahid menjelaskan, terdapat beberapa kekangan dalam menangani perkara tersebut.

"Kita tahu kita mempunyai aset, sistem maklumat tertentu, tetapi ada kemungkinan kebocoran maklumat berlaku dan kita sedang lakukan jika ada individu yang ada dalam agensi penguatkuasaan melakukan kebocoran maklumat pasti akan ambil tindakan. Kita tidak boleh biarkan pencerobohan dalam negara kita," ujarnya lagi.

Ujarnya, agensi kawasan sempadan Malaysia melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) , Kastam, Agensi Anti- Dadah Kebangsaan (AADK) dan lain-lain.

"Antara kolaborasi diadakan di sempadan ialah bertukar maklumat, unit risikan dan bagi Sabah, melibatkan Esscom," katanya.

-Astro Awani-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada