Siasat Dakwaan George Soros Biaya Bersih - TPM Zahid

KUALA LUMPUR - Maklumat yang mendakwa hartawan George Soros membiayai Bersih, Merdeka Center dan Malaysiakini perlu disiasat, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata ia harus disiasat secara emperikal, iaitu berdasarkan pemerhatian dan ujian saintifik.

"Soalnya bukan "siapa" dibiayai dan "kenapa". Apa yang harus ditanya ialah penglibatan pihak luar terhadap politik negara.

"Ini kerana politik Malaysia mengikut acuan yang sesuai dengan politik negara kita. Tidak perlulah, jika benar melibatkan pihak luar apatah lagi pembiayaan aktiviti politik sama ada menentang atau menyokong mana-mana organisasi atau individu," katanya kepada pemberita pada pelancaran buku bertajuk 'Being Abdullah Badawi', di sini hari ini.

Menurut laporan media hari ini, satu kumpulan asing dipengerusikan jutawan George Soros membiayai beberapa organisasi tempatan dalam programnya mempengaruhi keputusan pilihan raya umum akan datang.

Ditanya mengenai gesaan beberapa pemimpin tempatan supaya siasatan dijalankan ke atas organisasi yang terlibat, Ahmad Zahid berkata ia akan dilakukan sekiranya terdapat laporan polis.

"Biar laporan polis dilakukan. Kita juga akan lakukan tindakan sebagai mana saranan itu. Kita tidak tertakluk pada sebarang spekulasi atau saranan," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi