Prasangka Barat Terhadap Islam Kerana Khuatir Ia Pesat Berkembang - Ahmad Zahid

ALOR GAJAH - Prasangka yang 'dilukis' oleh pihak tertentu di Barat terhadap Islam adalah kerana agama itu sedang pesat membangun dan paling cepat perkembangannya di dunia pada masa ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihak terbabit khuatir dengan perkembangan pesat Islam yang kini mempunyai 1.8 bilion penganut di seluruh dunia, dapat memberikan kekuatan kepada agama itu.

Katanya prasangka mengaitkan penganut agama Islam dengan kumpulan militan seperti Daesh adalah langsung tidak tepat kerana berdasarkan kajian Pusat Pemulihan Mohammed Alnaif, Arab Saudi mengatakan 87 peratus daripada pengganas ini tidak mempunyai asas pendidikan agama yang kukuh.

"Kekuatan inilah (kekuatan Islam) yang menyebabkan prasangka ini berlaku, maka kita harap orang Islam sendiri yang akan membetulkan imej ini supaya prasangka itu diketepikan.

"Jangan harap agama lain atau orang lain yang membetulkan imej ini kerana hanya orang Islam sendiri yang boleh membetulkan imej orang Islam," katanya kepada pemberita di sini Sabtu.

Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Graduasi Hafaz Aqso, Tingkatan 5 dan Program Khas Asasi Ulul Albab 2016 Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab di Masjid Tanah di sini yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob.

Ahmad Zahid berkata generasi baharu terutamanya yang lahir daripada sekolah aliran keagamaan seperti Sekolah Menengah Imtiaz Ulul Albab itu perlu memainkan peranan penting dalam usaha memperbetulkan prasangka terhadap agama Islam.

Sehubungan itu, beliau berkata umat Islam perlu mempunyai asas dan pendidikan agama formal yang kukuh bagi memperbetul imej tersebut serta tidak terlibat dengan sebarang kegiatan radikal yang mengancam masyarakat dunia.

"Jika mempunyai ilmu agama kukuh dengan kombinasi akademik, dunia dan akhirat, mereka tidak akan terlibat (dengan kegiatan radikal)...mereka (pengganas) cari jalan singkat masuk syurga, tetapi tiada jalan singkat kerana masuk (syurga) perlu melalui proses ibadah," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada