Malaysia Teroka Projek Infrastruktur Di Arab Saudi

RIYADH - Malaysia sudah mengenal pasti beberapa projek infrastruktur baharu di Arab Saudi yang boleh diusahakan secara kerjasama pintar oleh syarikat kedua-dua negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata antara projek baharu ialah pembinaan jalan lingkaran di Jeddah dan Makkah.

"Syarikat Malaysia mempunyai rekod baik di Arab Saudi dan kita akan membuat tindakan susulan (dengan kerajaan Arab Saudi) untuk mengenal pasti projek berkenaan," katanya kepada media Malaysia setibanya untuk lawatan kerja lima hari di Arab Saudi, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, kejayaan Prasarana Malaysia Berhad (PRASARANA) dalam projek monorel antara Arafah ke Mina adalah bukti kepakaran syarikat Malaysia diterima baik oleh Arab Saudi.

"Sehubungan itu, kita perlu membuat tindakan susulan bagi memastikan syarikat Malaysia terutama yang sudah lama di sini dapat terus menyumbangkan kepakaran mereka," katanya.

Beliau berkata, Malaysia juga bersedia mempelajari daripada Arab Saudi dan berkongsi pengalaman dalam program menangani kegiatan dan pemulihan militan.

"Kita sedia belajar daripada Arab Saudi bagaimana mereka melaksana program menangani kegiatan berkaitan militan," katanya yang turut melawat pusat pemulihan banduan Mohammed al-Saif petang semalam.

Pusat berkenaan adalah tempat banduan termasuk tahanan militan dipulihkan sebelum mereka dibenarkan kembali kepada masyarakat.

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada