Malaysia komited isu keamanan sejagat

KETEGASAN Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Perbahasan Umum Ke-71, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York baru-baru ini membuktikan komitmen Malaysia dalam menangani pelbagai isu antarabangsa khasnya yang berkaitan dengan keamanan sejagat.

Apa yang dijelaskan oleh Ahmad Zahid memang tepat pada waktunya. Sebagaimana maklum, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ialah sebuah badan antarabangsa yang bertanggungjawab dalam hal berkaitan dengan tadbir urus dunia sejagat. Namun, bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila hari ini, PBB dilihat seperti sudah tumpul taringnya dan tidak berdaya untuk melakukan sesuatu usaha yang efektif, khasnya sebagai sebuah badan pengaman antarabangsa.

Lihat sahaja apa yang berlaku di Syria. Ahmad Zahid dalam ucapannya menegaskan tentang isu dan konflik berdarah yang terus berlarutan di Syria. Sejak 2011, keadaan di Syria semakin hari semakin teruk, seolah-olah tidak ada jalan penyelesaiannya.

Dalam hal ini, Ahmad Zahid telah menyarankan dengan penuh bersemangat bahawa Majlis Keselamatan PBB perlu mengekalkan ketegasan dan terus berusaha untuk melaksanakan tugas dan tanggungjawab secara efektif demi mengekalkan keselamatan dan keamanan sejagat.

Malaysia sudah menyatakan komitmen untuk membantu masalah yang berkaitan dengan pelarian Syria dan akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian. Demikianlah yang pernah dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika sesi ke-70 Perhimpunan Agung PBB tahun lalu. Sehingga hari ini, Malaysia telah mengotakan janjinya dan begitu komited membantu masalah pelarian Syria.

Malaysia dapat pujian

Bukan itu sahaja, di bawah pimpinan Najib, Malaysia turut memainkan peranan mengurus dan menyelesaikan konflik di Pulau Mindanao, selatan Filipina sehingga mendapat pujian daripada pelbagai pihak. Usaha misi diplomasi Malaysia ini berakhir dengan termeterainya proses damai antara Bangsamoro dengan Kerajaan Filipina.

Dalam isu ini, Malaysia telah meletakkan satu pasukan pemantau antarabangsa dan bertindak sebagai orang tengah dengan menjadi hos perundingan damai antara Kerajaan Filipina dan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF).

Menurut Najib, "Perkara ini pada satu ketika menjadi satu isu yang sensitif bagi kami, tapi kami komited untuk menjadi pendahulu demi kepentingan bagi keamanan dan kestabilan yang lebih meluas"

Apa yang pasti, Malaysia di bawah pimpinan Najib, boleh berbangga kerana dapat membantu rundingan damai tersebut dan meningkatkan tahap keselamatan dan kestabilan di Mindanao. Perlu diingatkan bahawa konflik yang lama berlarutan itu mengorbankan puluhan ribu nyawa. Dalam isu ini Najib sering mengulangi komitmen Malaysia akan diteruskan sehinggalah keamanan serta kemakmuran sepenuhnya dicapai di wilayah yang terbabit. Ini membuktikan bahawa Malaysia berjaya menunjukkan kepada dunia bahawa strategi pengurusan konflik secara aman boleh dilaksanakan dengan jayanya dan bukannya dengan menggunakan peperangan untuk menjaga keamanan.

Pastinya ramai antara kita masih ingat akan keberanian Najib menjejakkan kaki ke bumi Palestin pada 2013. Najib yang ketika itu melakukan lawatan kemanusiaan, adalah Perdana Menteri Malaysia pertama menjejakkan kaki di bumi Palestin. Di mata masyarakat Islam antarabangsa, pastinya kehadiran Najib menjadi pencetus semangat kepada umat Islam sejagat untuk terus berjuang bagi membantu perjuangan rakyat Palestin yang ditindas dengan kejamnya oleh rejim Zionis Israel.

Cinta keamanan sejagat

Sejak dari dahulu lagi, Malaysia adalah sebuah negara yang cintakan keamanan sejagat dan negara kita sememangnya sangat prihatin terhadap pelbagai isu dan konflik yang boleh menjejaskan keamanan serantau dan antarabangsa. Itu sebabnya Najib sentiasa memastikan dasar luar negara mempunyai dasar dinamik dan prihatin dengan tuntutan semasa. Dengan adanya pendekatan seperti ini, Malaysia mampu menjadi perintis dan peneraju kepada keamanan global.

Inilah pendekatan yang mesti dicontohi oleh negara lain dalam menyelesaikan konflik antarabangsa. Sebagai manusia, kita tidak mahu melihat pertumpahan darah terus berlaku akibat keegoan pemimpin besar dunia yang tidak hiraukan kesengsaraan yang dialami. Persoalannya mahukah kuasa kuasa besar dunia mencontohi sebuah negara seperti Malaysia yang berjaya menyelesaikan pelbagai konflik antarabangsa dengan pendekatan yang bijaksana dan boleh diterima secara universal?

-Berita Harian-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada