Malaysia Harap Hubungan Dengan Thailand Terus Dipertingkat - Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR - Malaysia berharap hubungan baik dengan Thailand sepanjang negara itu berada di bawah pemerintahan Raja Bhumibol Adulyadej, terus dipelihara dan dipertingkat walaupun selepas kemangkatan baginda.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata hubungan baik itu bukan hanya membabitkan hubungan diplomatik dan perdagangan tetapi juga dalam soal keselamatan di sempadan kedua-dua negara berjiran.

Katanya, selama 70 tahun berada di takhta, Raja Bhumibol yang mangkat pada 13 Okt lalu, telah menunjukkan keprihatinan baginda terhadap hubungan kedua-dua negara dan sentiasa mempertahankannya.

"Dengan kemangkatan baginda, rakyat Malaysia mengharapkan hubungan dapat diteruskan terutama dalam program-program keselamatan, antara Polis Diraja Malaysia dan Polis Thailand serta angkatan tentera kedua-dua negara yang sedia rapat," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menandatangani Buku Takziah sebagai penghormatan terhadap Raja Bhumibol, di kediaman Duta Besar Thailand di Malaysia Damrong Kraikruan di Jalan Ampang di sini. Beliau turut merakamkan rasa simpati dan takziah kepada Damrong.

Timbalan perdana menteri yang turut merakamkan rasa simpati kepada rakyat Thailand atas kemangkatan raja yang disayangi mereka, berharap mereka terus menjaga negara mereka dengan sebaik-baiknya demi keutuhan dan kestabilan bukan hanya di Thailand tetapi juga rantau ini.

Terdahulu, ketibaan Ahmad Zahid ke kediaman duta besar Thailand itu pada kira-kira 12.45 tengah hari disambut Damrong dan isterinya Suwanna Phukphat serta kakitangan kedutaan. Turut hadir Timbalan Menteri Luar Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Raja Bhumibol, yang memerintah Thailand selama 70 tahun selepas menaiki takhta pada 1946, mangkat pada 3.52 petang 13 Okt lalu di Hospital Siriraj, seperti diumumkan oleh Biro Kerabat Diraja Thailand.

Baginda berusia 89 tahun.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada