Kesedaran Awam Masih Sederhana Untuk Berpindah Awal Sebelum Bencana - TPM

KEMAMAN - Kesedaran orang ramai untuk berpindah lebih awal apabila berlaku bencana alam terutama banjir masih di tahap sederhana, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata penilaian itu dibuat dengan mengambil kira skala antara satu hingga 10 dan kesedaran masyarakat berada pada tahap lima.

"Kita perlu tingkatkan kesedaran itu dalam kalangan mangsa yang berdaftar atau tidak berdaftar. Di pihak kerajaan, kita telah menubuhkan Nadma (Agensi Pengurusan Bencana Negara) yang telah siap sedia 100 peratus dalam menghadapi apa-apa situasi bencana dalam negara.

"Namun kita memerlukan respons daripada orang ramai supaya nanti apabila ia (bencana) berlaku, kita tidak mahu orang ramai hanya menjadi penonton apabila bantuan diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2016 di Kemaman Waterfront, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani merangkap Anggota Parlimen Kemaman Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abd Karim.

Sementara itu ketika berucap, Ahmad Zahid berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) Kemaman dalam menghadapi banjir bukan sahaja berjaya mencapai piawaian 'gold standard' di dalam negara tetapi juga telah diiktiraf di peringkat antarabangsa.

SOP Kemaman Siap Siaga iaitu satu program dalam inisiatif Komuniti Pintar Kemaman telah memenangi anugerah pada Sidang Kemuncak mengenai Masyarakat Bermaklumat (WSIS) di Geneva tahun lepas.

Dalam pada itu, timbalan perdana menteri turut memuji komitmen dimainkan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan dan anggota keselamatan yang sentiasa berusaha mengurangkan risiko kematian dan kemusnahan semasa berlakunya bencana.

"Kita mahu membudayakan kesiapsiagaan dalam kalangan masyarakat. Kita harus menyerapkan budaya itu di dalam hati dan minda supaya bersiap siaga sentiasa ada pada diri kita dan ia perlu disebarkan kepada ahli keluarga dan pembudayaan ini perlu bermula daripada sekarang," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada