Ahmad Zahid Lawat Arab Saudi Mulai Hari Ini

KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan lawatan rasmi ke Arab Saudi mulai hari ini hingga 16 Okt ini.

Menurut kenyataan Kementerian Luar hari ini dalam lawatannya itu, Ahmad Zahid dijadual mengunjungi Raja Salman Bin Abdulaziz Al-Saud, Putera Mahkota Mohammad Bin Naif Al-Saud dan Timbalan Putera Mahkota Mohammed Bin Salman Al-Saud.

Beliau turut dijadual menemui Gabenor Makkah di Jeddah, Putera Khalid Al-Faisal.

Menurut kenyataan itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri akan mengunjungi Pusat Kaunseling dan Penjagaan Mohammad Bin Naif, iaitu pusat deradikalisasi Arab Saudi di Riyadh, serta 'Madinah Knowledge Economic City' di Madinah.

Selain itu, beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Majlis Perniagaan Malaysia-Arab Saudi (MSBC) di Jeddah dan masyarakat Malaysia termasuk pegawai dagang dan pelajar di Riyadh dan Madinah.

Menurut Kementerian Luar, lawatan berkenaan memberi peluang kepada para pemimpin Malaysia dan Arab Saudi untuk membincangkan pelbagai isu kepentingan bersama khususnya dalam bidang kerjasama keselamatan.

Sepanjang lawatannya itu, Ahmad Zahid akan diiringi oleh isteri Datin Seri Hamidah Khamis, pegawai-pegawai kanan kerajaan dari Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Luar.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada