Zahid Mahu Proses Pembahagian Harta Pusaka Dipercepatkan

NILAI - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mencadangkan agar agensi yang terlibat dengan pengurusan dan pembahagian harta pusaka supaya berusaha menyelesaikannya dalam tempoh kurang daripada tujuh hari waktu bekerja.

Katanya inisiatif itu boleh diusahakan bagi kes yang tiada pertelingkahan waris, tidak melibatkan harta dengan nilai jutaan ringgit dan mempunyai dokumen yang lengkap.

"Agensi berkenaan perlu mencari mekanisme terbaik untuk mencairkan harta tersebut agar manfaatnya dapat dipulangkan kepada simati dan ahli waris yang berhak atau pihak-pihak yang berkepentingan terhadap harta tersebut," katanya pada perasmian Seminar Kebangsaan Transformasi Harta Pusaka dan pelancaran E-Faraid di sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharum.

Ahmad Zahid berkata satu formula atau mekanisme perlu dibangunkan bagi memudahkan masyarakat Islam berurusan dengan agensi-agensi yang terlibat dengan pengurusan harta pusaka.

Turut hadir di majlis itu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) Tan Sri Dr Ibrahim Lembut dan Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) Profesor Datuk Dr Musa Ahmad.

Ahmad Zahid berkara berhubung penyelarasan pengurusan, ia boleh dicadangkan agar Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menggabungkan agensi-agensi tertentu atau melaksanakan Strategi Lautan Biru Kebangsaan dengan agensi-agensi tertentu untuk mewujudkan satu pusat sehenti bagi membantu mempercepatkan pengurusan kes harta pusaka orang Islam.

Katanya mengikut rekod Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian melalui Bahagian Pembahagian Pusaka, setakat Februari tahun ini, sebanyak RM60 bilion harta orang yang telah meninggal dunia belum dituntut atau yang beku sejak Malaysia merdeka.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Jamil Khir berkata aplikasi e-faraid yang dilancarkan hari ini mampu memendekkan tempoh pengeluaran Sijil Perintah Faraid kepada satu jam berbanding sebelum ini yang mengambil masa paling cepat tiga bulan.

Jamil Khir berkata di bawah aplikasi ini terdapat dua modul iaitu e-Faraid dan k-Faraid.

"Selain memudahkan pihak Mahkamah Syariah dalam mengendalikan urusan pendaftaran sehingga pengeluaran perintah, aplikasi ini turut membantu masyarakat awam belajar tentang ilmu faraid melalui modul k-faraid.

"Saya yakin dengan inovasi ini akan memberi impak yang memangkinkan proses untuk penyelesaian pembahagian harta pusaka di kalangan umat Islam," katanya.

Modul e-faraid merupakan sistem sokongan kepada para hakim dan pegawai Mahkamah Syariah dalam pengurusan dan pengendalian kes-kes faraid secara dalam talian.

Sementara itu, modul k-faraid pula menawarkan modul pembelajaran secara interaktif yang boleh dilayari oleh semua pengguna di serata dunia untuk mempelajari disiplin dalam ilmu faraid, hukum hakam dan susunan ahli waris.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada