UMNO Sentiasa Amalkan Konsep Perkongsian Kuasa - Ahmad Zahid

KEPALA BATAS - UMNO sentiasa mengamalkan konsep perkongsian kuasa tanpa pernah membolotnya hanya untuk orang Melayu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata konsep perkongsian kuasa yang diamalkan oleh UMNO dalam Barisan Nasional (BN) membolehkan gabungan parti itu menang dan terus memerintah negara.

"Ini konsep perkongsian kuasa yang diamalkan UMNO. Kita tak pernah bolot kuasa itu untuk orang Melayu," kata Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini, hari ini.

Turut hadir bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Ahmad Zahid juga berkata sudah tiba masanya BN Pulau Pinang bangkit menebus kekalahan di negeri ini.


Dengan adanya sikap setiakawan dalam BN, beliau berkata ia jelas menggambarkan setiap parti komponennya sedia membantu rakan-rakan sekutu untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi.

"Ketika krisis UMNO pada 1987, rakan-rakan BN bantu UMNO. Inilah pula masanya bagi UMNO bantu rakan-rakan dalam BN," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada