UMNO Perlukan Calon Yang Disenangi Pengundi Dan Boleh Menang PRU 14 - Ahmad Zahid

KANGAR - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) memerlukan calon yang disenangi rakyat dan boleh menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Beliau berkata tindakan sesetengah anggota parti yang menolak calon pilihan pucuk pimpinan dan menganggapnya sebagai orang luar harus dibuang kerana ia sudah tidak relevan lagi dalam perkembangan politik semasa.

"Memang dulu (berlaku dalam UMNO) walaupun orang tu dari Dewan Undangan Negeri (DUN) lain dipilih bertanding di DUN lain, mereka dianggap orang luar.

"Kali ini apabila kita pilih, tidak mau lagi ada rombongan datang dengan bas nak tunjuk protes. Matlamat kita adalah menang dan jadi kerajaan. Lama menjadi pemimpin sahaja tidak ada makna," katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO bahagian Kangar di sini, hari ini.

Beliau berkata matlamat UMNO untuk terus memerintah negara tidak mungkin tercapai jika masih ada anggota atau bekas anggota yang terus menyimpan dendam terhadap pemimpin dan kerajaan yang memerintah.


"Masa ini adalah sesuai UMNO diberi 'roh' baharu, bukan sekadar mendaftar ahli-ahli baharu dan meremajakan parti sahaja menjelang PRU akan datang.

"UMNO menjaga 'rebannya' dengan baik, tidak kira ayam, kambing pun tidak boleh dibiar terlepas kerana jika keluar akan menjadi mangsa harimau.

"Oleh itu kita harus mempertahankan kubu kita pada PRU akan datang dan merampas balik mana-mana kerusi yang tewas pada PRU lepas," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata dalam perkembangan poltik sekarang UMNO yang menjadi indah dan dihormati kerana tidak mengenepikan agama dan kaum lain harus mendekati rakyat dengan 'minda dan hati.'

Katanya UMNO sebagai parti yang matang boleh menerima sebarang perbezaan pendapat tetapi tidak boleh bertolak ansur soal prinsip.

"Perbezaan pendapat bukan luar biasa bagi UMNO tetapi ia perlu diterjemah melalui agenda politik," katanya dan menambah pemimpin hari ini harus ada daya juang dan ketahanan yang kuat kerana perbezaan pendapat mengundang pelbagai ujian.

Menurutnya perbezaan pendapat menyebabkan berlaku undi protes yang menjadikan UMNO 'bengkok' dan keadaan akan menjadi lebih teruk apabila ia ada bekas anggota "menyerang parti" menyebabkan ia sukar dibendung.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menasihatkan pemimpin-pemimpin parti supaya terus mendekati rakyat dan anggota di peringkat umbi dan bukan setakat mendekati mereka menjelang pemilihan parti sama ada peringkat cawangan atau bahagian hampir tiba.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada