Ujian sebenar BN Sungai Besar, Kuala Kangsar ialah PRU

SUNGAI BESAR - Kemenangan selesa calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar banyak dipengaruhi oleh faktor jentera luar yang berkampung untuk membantu calon, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti, berkata ujian sebenar kepada kedua-dua UMNO bahagian itu ialah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, apabila tiada lagi orang luar datang untuk membantu mereka berkempen.

"Dalam PRU nanti masing-masing kena berdikari dan tiada siapa hendak turun membantu sebab kena jaga kubu masing-masing. Dalam PRK, Perdana Menteri turun, saya pun turun dan ramai pemimpin lain pun turun.

"Jangan ingat bumi sentiasa rata dan ikan sentiasa ada di lubuk. Buktikan kita mampu berdikari dan memastikan kemenangan dalam PRK diterjemahkan pula dalam PRU akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Sungai Besar di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar; Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim; Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi dan Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos.

Timbalan Perdana Menteri turut mengingatkan kepada UMNO Bahagian Sungai Besar untuk segera membaiki lompang serta mengatasi kekurangan yang ada, jika mahu mengekalkan kemenangan dalam PRU akan datang.

"Dalam PRU lalu, calon BN di Sungai Besar memperoleh sebanyak 18,695 undi, manakala dalam PRK pula BN memperoleh 16,800 undi. Mereka yang keluar mengundi dalam PRU dan PRK pula ialah 88 peratus dan 74 peratus.

"Jadi, masih ada kerja yang perlu dibuat kerana cabaran dalam PRU nanti adalah sangat berbeza. Namun, yang paling ketara ialah BN dan UMNO berjaya menembusi kawasan Sekinchan yang dianggap lubuk untuk DAP," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada