Tun Abdullah Pemimpin Terbaik, Tidak Pernah Beri Komen Negatif - TPM

KEPALA BATAS - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyifatkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai pemimpin contoh kerana tidak pernah memberikan komen negatif terhadap pemimpin lain selepas tidak lagi menjadi perdana menteri.

Beliau berkata Abdullah yang lebih mesra dipanggil Pak Lah ialah pemimpin yang layak untuk dianugerahkan sebagai tokoh pemimpin terbaik.

"Pak Lah tak berikan komen yang negatif kerana pemimpin datang dan pergi, pemimpin diuji. Pak Lah memahami keadaan itu, pemimpin yang harus dihormati," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Abdullah, Timbalan Menteri Luar yang juga Ketua UMNO Bahagian Kepala Batas Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow dan Pengerusi UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO berkata setiap pemimpin tidak dapat lari daripada dugaan dan menurutnya kekuatan serta kehebatan seseorang pemimpin itu adalah hasil daripada sokongan kuat anggota parti.

"Setiap pemimpin ada dugaannya, Pak Lah juga diduga (dan) beliau berjaya, (Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) juga diduga dan saya pun diduga. Yang (pemimpin) sebelum itu (bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) pun diduga lebih 20 tahun. Dia hebat sebab UMNO yang buatkan dia hebat," katanya.

Ahmad Zahid berkata Abdullah selaku perdana menteri Malaysia kelima juga telah berjaya menerajui BN untuk mencatatkan prestasi terbaik dalam pilihan raya umum ke-11 (PRU11).

"Prestasi (BN) pada zaman Pak Lah adalah yang terbaik... perdana menteri terbaik dalam pilihan raya umum. Ini tak boleh dinafikan kerana ketika itu Pak Lah telah mengungkapkan (mengilhamkan) Islam Hadhari," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada