Semangat Kesalingan Dalam UMNO Pacu Kecemerlangan Memimpin Rakyat - Zahid

LANGKAWI - Semangat saling menghormati dan membantu yang telah lama wujud dalam kalangan pemimpin dan anggota UMNO, mampu memacu kecemerlangan parti untuk terus bersama rakyat, kata Naib Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata semangat kesalingan ini semakin penting semasa UMNO menghadapi ujian getir untuk membuktikan keupayaannya mengekalkan keyakinan rakyat.

"Kita perlu terus bersama pemimpin, sama ada semasa senang atau susah kerana kita adalah pengikut yang taat setia kepada parti," kata Ahmad Zahid, yang turut menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO semasa merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Langkawi di sini hari ini.

Menurutnya UMNO yang akan mencecah usia 70 tahun pada tahun depan sudah menghadapi banyak pengalaman apabila pemimpin-pemimpinnya menghadapi pelbagai dugaan yang menguji keupayaan mereka untuk terus menerajui parti dan memimpin rakyat.

"Hanya pemimpin yang mempunyai daya tahan, daya juang dan daya saing yang tinggi sahaja yang dapat melepasi ujian ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan terus memberi perhatian kepada masalah-masalah yang dihadapi di Langkawi yang sudah dirancang untuk menjadi destinasi pelancongan utama negara.

Katanya sejak mengambil alih sebagai timbalan perdana menteri, beliau telah banyak mengetahui masalah yang dihadapi di sini dan sedang mengambil langkah penyelesaian yang telah dijanjikan sebelum ini.

"Saya akan menterjemahkan apa-apa yang telah dijanjikan oleh timbalan perdana menteri sebelum saya," katanya.

Menurutnya janji yang pernah dibuat bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas Menteri Pelajaran ketika itu termasuk pembinaan tiga buah sekolah di Langkawi.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid juga akan mengarahkan Jabatan Pendaftaran untuk menjalankan operasi khas mengenal pasti kira-kira 600 orang penduduk tempatan yang masih belum memiliki kad pengenalan di pulau ini.

Katanya permohonan untuk sebuah lagi balai bomba dibina di Langkawi yang dicadangkan di Padang Matsirat akan dipercepatkan.

"Saya memberi komitmen bahawa Langkawi akan tetap menjadi keutamaan khususnya dalam sektor pelancongan dan pembangunan-pembangunan lain," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada