Penculikan Di Pulau Pom Pom Dipercayai Dilakukan Kumpulan 'Kidnap For Ransom' - TPM

KUALA LUMPUR - Penculikan tiga kru kapal nelayan di Pulau Pom Pom, Semporna, Sabah malam tadi dipercayai didalangi kumpulan 'kidnap for ransom' (KFR) atau 'penculikan untuk tebusan', kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata kumpulan itu dipercayai bergerak di kawasan Filipina khususnya di kepulauan berhampiran dengan Malaysia.

"Walaupun kita melakukan pemantauan sebagai kaedah 'surveillance', tetapi mereka telah bergerak di bawah radar.

"Dalam perkara ini saya telah hubungi pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya lebih meliputi seluruh kawasan 1,700km panjang di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) untuk dipantau sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kes penculikan itu pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini Ahad.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, berkata terdapat beberapa kekangan dari segi peralatan, namun beliau yakin ia akan diperoleh dalam masa terdekat.

Menurutnya, ketiga-tiga kru berkenaan bukan warganegara Malaysia tetapi merupakan pemastautin tetap.

"Walaupun begitu, pihak berkuasa akan terus memberi kerjasama dengan pihak berkuasa Filipina dan Menteri Pertahanan (Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein) telah berbincang dengan rakan sejawataanya, saya sendiri dah berbincang dengan rakan sejawatan saya serta Ketua Polis Negara (Tan Sri Khalid Abu Bakar) telah adakan perbincangan dengan rakan sejawatnya," kata beliau.

Esscom hari ini mengesahkan berlaku satu kes culik di perairan Pulau Pom Pom, Semporna malam tadi.

Komander Esscom Datuk Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid ketika dihubungi Bernama berkata laporan berhubung kes berkenaan diterima pada 1.59 pagi Ahad.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada