Pelan Strategik Perangi Dadah Kebangsaan Kini Di Peringkat Draf Akhir - Zahid

KUALA LUMPUR - Pelan Strategik Memerangi Dadah Kebangsaan berada di peringkat draf terakhir dan dijangka dibentang dalam mesyuarat Kabinet untuk kelulusan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau telah meneliti draf berkenaan bersama-sama Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, selain melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam).

"Perbincangan telah dilakukan oleh pihak NGO dan pihak berkuasa lain terutama Kastam dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik bersama-sama Kementerian Kesihatan.

"Malah, saya sendiri telah memberi taklimat khas kepada anggota-anggota Parlimen supaya mereka semua memberi input untuk diterima pakai terhadap dasar dadah negara," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, di sini hari Ahad.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelan berkenaan.

Ditanya sama ada beliau yakin pelan berkenaan boleh memerangi dadah secara habis-habisan, Ahmad Zahid berkata: "Kita tak boleh terlalu yakin kerana ini bukan melibatkan sindiket Malaysia sahaja, tapi di peringkat antarabangsa, namun usaha kerajaan untuk membuat pemulihan dan juga menguatkuasakan semua perundangan itu berjalan lancar".

Pada Februari lepas, Ahmad Zahid mengisytiharkan 'Perangi Dadah Habis-Habisan' di Kuching, sebagai manifestasi mengenai kebimbangan kerajaan terhadap isu dadah dalam negara.

Sementara itu, mengulas cadangan supaya pemaju perumahan yang layak boleh memohon lesen pinjaman wang untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada pembeli hartanah khususnya syarikat mempunyai kedudukan kewangan kukuh, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak dibincangkan dalam jemaah menteri.

Sehubungan itu, beliau meminta Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar memberi penjelasan kepada cadangan tersebut.

Mengulas berhubung penganjuran Program World #QuranHour hari ini, beliau memuji program berkenaan sambil meminta umat Islam menjadikan al-Quran sebagai pegangan hidup.

"Saya fikir umat Islam harus menjadikan al-Quran sebagai amalan. Secara peribadi, saya sendiri tak pernah mengetepikan al-Quran dan membaca satu jam sehari," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada