Kekalahan Di Negeri Tertentu Disebabkan Ketidakseragaman BN - Ahmad Zahid

KEPALA BATAS - Kekalahan Barisan Nasional (BN) di negeri tertentu dalam pilihan raya umum ke-12 dan ke-13 berpunca daripada ketidakseragaman parti-parti komponennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid yang menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO berkata adalah penting bagi pemimpin dan anggota UMNO serta parti-parti komponen BN untuk bertindak seragam daripada sudut kerohanian dan pemikiran bagi memastikan BN terus jitu dan kuat.

Menurutnya kemenangan pembangkang di Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan bukan kerana mereka kuat tetapi adanya 'orang dalam' yang turut menyumbang kepada kemenangan itu.

"...mengapa kita kecundang dalam pilihan raya umum ke-12 dan PRU13 adalah kerana ketidakseragaman. Ini kerana, ada individu yang ada agenda sendiri, pemimpin yang ada agenda individualistik yang melemahkan kekuatan kita.

"Mulai tahun ini, apabila Perhimpunan Agung UMNO dan Konvensyen BN diadakan kita (perlu) bangkit, kita bangun, kita bawa keseragaman, kesatuan pemikiran serta kesatuan tindakan harus diseragamkan di seluruh negara untuk mencemerlangkan UMNO dan BN," katanya semasa berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata setiap teguran yang dibuat terhadap parti-parti komponen BN adalah demi kebaikan semua dan bukannya untuk menyinggung pihak tertentu kerana setiap parti komponen merupakan tulang belakang BN.

"Benar, UMNO kini kembali bangkit. Dalam keadaan ini, UMNO ikhlas untuk membantu rakan-rakan kita dalam BN yang diuji untuk (sama-sama) bangkit," katanya.

Terdahulu Ahmad Zahid dalam ucapannya pada perasmian Persidangan Perwakilan UMNO Balik Pulau berkata parti-parti komponen BN khususnya Gerakan dan MCA perlu mengikut rentak kerja UMNO bagi memastikan kemenangan pada PRU14.

Beliau berkata kerajaan DAP Pulau Pinang sekarang tidak sehebat mana dan hanya mengutip hasil daripada usaha BN semasa memerintah negeri itu.

"Yang kerja BN, mereka (DAP) hanya kutip hasil...maka, kita wajib ambil kembali Pulau Pinang (daripada pembangkang). Cukuplah beri kemenangan kepada orang lain akibat pertelagahan dan kelemahan kita," katanya.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada