Hari Kebangsaan 2016 Meriah, Papar Semangat Cinta Negara

KUALA LUMPUR - Semangat dan rasa cinta kepada negara jelas tergambar hari ini apabila ribuan rakyat Malaysia dari segenap lapisan masyarakat berkumpul untuk bersama-sama memeriahkan perarakan Hari Kebangsaan 2016 di Dataran Merdeka, walaupun dalam keadaan hujan renyai awal pagi tadi.

Bertepatan dengan tema 'Sehati Sejiwa', semangat kesepaduan, kesefahaman dan kekitaan terserlah di wajah setiap peserta mahupun pengunjung acara perbarisan dan perarakan yang mula membanjiri dataran bersejarah itu seawal 6.30 pagi.

Masing-masing bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang, malah ada yang hadir mengenakan pakaian bertema bendera negara yang menambah aura patriotik di sekitar Dataran Merdeka.

Acara yang berlangsung di tengah-tengah ibu kota itu menyaksikan kira-kira 14,500 peserta mengambil bahagian dalam acara tahun ini, termasuk kontinjen daripada sektor awam, swasta, kontinjen negeri-negeri dan para pelajar.

Turut menyertai perarakan kali ini ialah atlet-atlet negara yang telah mencipta kejayaan membanggakan negara pada Sukan Olimpik di Rio, Brazil baru-baru ini serta kontinjen Sukan SEA 2017 yang turut menampilkan maskot rasmi sukan itu iaitu 'Rimau' sebagai simbolik kepada semangat juang yang tinggi.


Acara perbarisan dan perarakan bermula sejurus keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah pada 8 pagi, yang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah Khamis, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan isteri Datin Seri Raya Erom serta barisan menteri-menteri Kabinet serta perwakilan asing.

Sejurus tiba, Tuanku Abdul Halim menerima tabik hormat dan memeriksa perbarisan pasukan Kawalan Kehormatan Utama terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota lain-lain pangkat dari Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja, Kem Sungai Besi diketuai Mejar Azadlee Rafedzi Kamal Rafedzi.

Dataran Merdeka kemudiannya bergema dengan nyanyian lagu Negaraku yang mengiringi acara menaikkan Jalur Gemilang oleh anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), serentak itu 14 das tembakan kehormat turut kedengaran yang melambangkan 14 negeri dalam Malaysia.

Acara kemudiannya diteruskan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai Muhammad Hilal Asraf Nor Hisham dari Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, melibatkan 59 pelajar pelbagai kaum yang membangkitkan rasa patriotisme rakyat.

Seterusnya, acara padang yang penuh warna-warni daripada kira-kira 2,000 pelajar dari beberapa buah sekolah menengah sekitar Selangor dan Kuala Lumpur dengan persembahan Grafik Kreatif pelbagai formasi turut menarik perhatian orang ramai.

Persembahan menggunakan plai kad, pom-pom, kelerai, bendera dan payung mengikut rentak lagu patriotik itu menterjemahkan tema sambutan dengan pergerakan yang melambangkan perpaduan dalam keluarga, pembangunan ekonomi, peningkatan teknologi terkini dan sebagainya.

Skrin LED gergasi yang disediakan di kawasan Dataran Merdeka menambah kemeriahan acara apabila orang ramai dapat menyaksikan dengan lebih jelas setiap acara dan persembahan yang diadakan di dataran bersejarah itu.

Persembahan khas oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan aksi-aksi mencemaskan dan tangkas ketika menangani jenayah menunjukkan kesiapsiagaan pasukan anggota pelbagai unit itu dalam memastikan keselamatan negara, mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai.

Segmen kedua membabitkan perbarisan dan perarakan pula menampilkan 10 segmen utama daripada komponen kenegaraan, perkhidmatan awam, ekonomi, animasi, sukan, jati diri, ketenteraan awam, keselamatan negara, pertunjukkan udara dan komponen rakyat bersatu.

Penonton khususnya kanak-kanak pula begitu seronok menyaksikan pelbagai maskot daripada watak-watak utama animasi terbitan syarikat tempatan antaranya BoboiBoy, Keluang Man dan 'Didi and Friends' yang menyertai kontinjen animasi.

Antara yang turut menarik perhatian orang ramai ialah perbarisan aset milik pasukan keselamatan negara termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menampilkan 157 buah pelbagai jenis kenderaan yang dimiliki PDRM sejak 1950 hingga kini.

Ini termasuk motorsikal berkuasa tinggi, dan pelbagai jenis kenderaan yang digunakan pasukan itu termasuk Motokar Mitsubishi EVO X, iaitu MPV Elite yang bertindak penting dalam pencegahan dan pembanterasan jenayah serta 'Water Can Mercedez Benz Actross' yang digunakan Polis Simpanan Persekutuan (PSP), antaranya bagi menyuraikan perhimpunan haram dan rusuhan.

Kontinjen Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pula terdiri daripada 30 pegawai dan 1,523 anggota lain-lain pangkat bersama 108 aset darat termasuk aset kenderaan perisai AV 8X8 atau dikenali 'Gempita', kereta perisai model 'Adnan' ACV 300, aset-aset artileri serta aset terbaharu ATM iaitu kereta perisai mobiliti tinggi (HMAV) 4x4 yang dikenali sebagai 'Lipan Bara'.

Selain itu, sebanyak 35 aset udara termasuk 12 pesawat tempur milik Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM), termasuk empat buah pesawat Sukhoi, turut meningkatkan adrenalin pengunjung dengan pertunjukan pelbagai formasi akrobatik yang menarik.

Kontinjen Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula tampil buat pertama kali dengan pakaian seragam bercorak celoreng digital selepas dilancarkan bulan lepas.

Secara keseluruhan, sebanyak 20 buah pancaragam, 26 kontinjen, 35 aset udara, 213 aset darat serta 72 haiwan dalam perkhidmatan terdiri daripada 50 ekor kuda dan 22 ekor anjing terlibat dalam acara perbarisan dan perarakan kali ini yang berdurasi kira-kira dua jam.

Majlis sambutan penuh gilang-gemilang itu diakhiri dengan persembahan khas komponen Rakyat Bersepadu yang menampilkan keunikan kepelbagaian bangsa, disertai 1,000 penari dari pelbagai jabatan kerajaan, institusi seni dan tarian, badan bukan kerajaan, sekolah seni serta penampilan anak-anak Permata Seni Tari.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada