Ahmad Zahid Tekankan Pentingnya Kerjasama Jitu Untuk Menangi Pulau Pinang

BALIK PULAU - Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menasihati parti komponen Barisan Nasional (BN) untuk mengikut rentak gerak kerja UMNO di Pulau Pinang untuk mengambil alih negeri itu daripada pembangkang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

UMNO sedia berkongsi ilmu dan membantu parti seperti Gerakan dan MCA serta meningkatkan lagi kerjasama dengan semua parti komponen BN untuk memenangi negeri itu, katanya semasa berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Balik Pulau, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata apa yang penting adalah untuk semua parti komponen BN meningkatkan lagi kerjasama bagi memastikan kemenangan BN.

"Jentera-jentera BN dilihat hanya harapkan jentera UMNO," katanya dan menurutnya semua parti komponen BN perlu mencontohi gerak kerja UMNO untuk meraih kemenangan.

Beliau berkata parti komponen BN tidak harus sombong dan angkuh serta berasa malu untuk menerima tawaran bantuan daripada UMNO kerana matlamat BN adalah untuk menawan semula Pulau Pinang daripada pembangkang.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut melancarkan jentera pilihan raya UMNO Bahagian Balik Pulau. Turut hadir Timbalan Menteri Kesihatan yang juga Ketua UMNO Bahagian Balik Pulau Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan barisan kepimpinan UMNO Bahagian Balik Pulau.

Ahmad Zahid berkata untuk menang dalam pilihan raya perlu kesepaduan dan sikap setiakawan yang kukuh dan berterusan bukan sahaja dalam kalangan pemimpin parti komponen BN, tetapi juga di peringkat akar umbi.

"Di Pulau Pinang, kita (BN) kecundang sebab tidak ada perpaduan dalam kalangan kita...hingga sekarang demam itu tidak pernah kebah. Rakan-rakan dalam BN bangkitlah, bangunlah, larilah bersama UMNO untuk merampas semula Pulau Pinang," katanya.

Ahmad Zahid turut menyatakan kesediaannya membantu gerak kerja BN di Pulau Pinang dan berkata beliau akan kembali semula ke negeri ini dalam 30 hari akan datang untuk mengadakan perjumpaan dengan empat peringkat jentera semua parti komponen di negeri ini.

Beliau berkata dalam politik tiada istilah merajuk dan kecil hati sebaliknya orang politik "makin ditekan makin bersemangat".

Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin agar tidak menjadi 'pemimpin bermusim' yang hanya turun padang pada waktu pemilihan dan pilihan raya.

Beliau menyeru rakan-rakan komponen menarik semula sokongan orang Cina dan India kepada BN dan mendekati serta membantu mereka menangani isu kemiskinan luar bandar.

"Tidak mustahil jika rakyat keturunan Cina dan India di Pulau Pinang juga merasa bahawa apa yang dilakukan kerajaan Pulau Pinang tidak dapat memenuhi kemahuan mereka sebagaimana mereka jangkakan," katanya.

Dalam respons segera, Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow hari ini menggesa agar kerjasama dalam kalangan parti komponen BN di negeri itu diperkukuhkan lagi dalam usaha untuk menawan semula negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Tidak dinafikan bahawa UMNO mempunyai jentera pilihan raya yang lebih baik jika dibandingkan dengan parti komponen BN yang lain, katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman menggesa semua parti komponen BN supaya bersikap terbuka menerima teguran demi kejayaan parti.

Semua rakan-rakan dalam BN perlu berlapang dada dan tenang dalam menerima kritikan daripada kepimpinan tertinggi demi kejayaan bersama, katanya ketika berucap pada persidangan perwakilan UMNO Bahagian Kepala Batas yang dirasmikan oleh Ahmad Zahid di Kepala Batas.

Dalam pada itu, Zainal Abidin mengulangi pendirian UMNO Bahagian Kepala Batas yang mengikrarkan sokongan penuh dan tidak berbelah-bahagi kepada kepimpinan Perdana Menteri dan Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ahmad Zahid.

-BERNAMA-

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada