Zahid Lawat Amerika, Pengerusi Perbahasan Di Majlis Keselamatan PBB

NEW YORK - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tiba di sini semalam, Isnin (22 Ogos) untuk melakukan lawatan kerja lima hari ke Amerika Syarikat dan mempengerusikan perbahasan di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada hari ini.

Menurut para pegawai Malaysia, Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri, akan mempengerusikan perbahasan tentang 'Cabaran Dalam Mendepani Percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran dan Kaedah Penghantaran, Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Kepada Pelaku Bukan Negara' di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di sini.

Ia sebahagian daripada lawatan kerja beliau ke Amerika Syarikat dari 22 hingga 27 Ogos.

Majlis Keselamatan terdiri daripada 15 anggota dengan kuasa besar seperti Rusia, United Kingdom, Perancis, China dan Amerika Syarikat merupakan lima anggota tetap badan berkenaan.

Anggota tetap ini boleh membatalkan sebarang resolusi substantif Majlis Keselamatan, termasuk berkaitan kemasukan negara anggota baharu atau calon bagi jawatan setiausaha agung manakala 10 anggota bukan tetap dipilih pada asas serantau untuk berkhidmat bagi tempoh dua tahun.

Kepimpinan UNSC digilirkan dalam kalangan lima anggota tetap dan 10 anggota bukan tetap mengikut abjad.

Malaysia adalah sebuah daripada anggota bukan tetap yang baru dipilih ke Majlis Keselamatan PBB setelah memenangi satu daripada lima kerusi bukan tetap Majlis Keselamatan PBB bagi mandat dua tahun bermula 1 Jan tahun lepas semasa pemilihan Majlis Keselamatan PBB 2014 diadakan pada 16 Okt 2014 di Ibu Pejabat PBB di New York City.

Jawatan presiden Majlis itu disandang oleh setiap anggota seterusnya selama sebulan dan Malaysia menyandang jawatan UNSC yang digilirkan itu bagi bulan ini.

Penggal Malaysia sebagai anggota bukan tetap UNSC akan tamat pada 31 Dis.

Ini merupakan lawatan rasmi ketiga Zahid ke Amerika Syarikat sejak dilantik sebagai timbalan perdana menteri pada Julai tahun lepas.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada