Zahid Beri Sumbangan Peribadi Kepada Masjid Haroon Di Bangkok

BANGKOK - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang sedang dalam lawatan kerja dua hari ke Thailand, menunaikan solat Jumaat di Masjid Haroon di sini hari ini bersama umat Islam tempatan.

Selain menunaikan solat Jumaat, timbalan perdana menteri turut memberi sumbangan peribadi kepada masjid yang terletak Jalan Charoen Krung di tengah-tengah ibu negara Thailand itu.

"Sumbangan peribadi itu untuk membina ruang solat wanita di masjid berkenaan," katanya kepada pemberita sebelum berlepas pulang ke Malaysia selepas menamatkan lawatan kerja dua harinya ke Thailand.

Sumbangan peribadi Ahmad Zahid itu diserahkan kepada Imam Besar masjid berkenaan, Abdul Ahad selepas solat Jumaat itu.

Turut sama menunaikan solat Jumaat di Masjid Haroon bersama timbalan perdana menteri adalah pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Luar Negeri serta media Malaysia yang membuat liputan lawatan kerja beliau.

Selepas menunaikan solat Jumaat, timbalan perdana menteri mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatannya Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan.

Sebelum itu pada sebelah pagi, beliau bertemu dengan seorang lagi Timbalan Perdana Menteri Thailand Wissanu Krea-ngam.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada