UMNO Johor tidak akan benar UMNO Pagoh keseorangan

PAGOH - Badan Perhubungan UMNO Johor tidak akan membiarkan UMNO Pagoh bersendirian dan akan terus membantu mereka menangani pelbagai isu dan cabaran termasuk menyelesaikan masalah rakyat di pelbagai peringkat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sedar bagaimana UMNO Bahagian Pagoh turut menerima kesan susulan beberapa isu yang berlaku di bahagian itu sebelum ini.

"Kehadiran saya pada hari ini adalah untuk menyatakan bahawa UMNO Bahagian Pagoh tidak akan dibenarkan tinggal keseorangan dalam berhadapan masalah dan cabaran.

"Saya tahu betapa UMNO Bahagian Pagoh turut menerima kesan susulan beberapa episod mendukacitakan yang membabitkan pemimpin penting bahagian ini dan kerajaan negeri di bawah pimpinan saya dan parti akan terus bekerjasama rapat dengan UMNO Bahagian Pagoh.

"Lebih-lebih lagi kita mendengar ucapan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh yang menyatakan (untuk terus bersama UMNO) dan kita juga gembira mendengar bahagian ini mempunyai perancangan dan rangka pengisian untuk menjayakan serta mengukuhkan kedudukan bahagian ini kelak," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Pagoh di Kompleks Seri Perkembar di sini, hari ini.

Yang turut hadir Pemangku Ketua Bahagian UMNO Bahagian Pagoh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed dan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor, Tan Sri Mohamad Aziz.

Hadir sama ialah Ketua Wanita UMNO Pagoh, Datuk Noriah Mahat; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh, Zaid Abdul Rahman dan Ketua Puteri UMNO Pagoh, Rohaizah Ahman. Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor berkata, ahli UMNO mesti terbuka dan menerima hakikat bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memilih haluan sendiri yang sesuai dengan prinsipnya.

"Kita pula memilih untuk setia dengan pendirian dan prinsip kita. Setia dengan kesatuan kita melalui UMNO tanpa mengalah dan berputus asa dengan segala cabaran dan kesukaran yang terpaksa kita tempuhi," katanya.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada