Semangat Patriotisme Yang Tinggi Pastikan Kedaulatan Negara Terpelihara - Zahid

TAWAU - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu setiap rakyat mempunyai semangat patriotisme yang tinggi bagi memastikan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

Timbalan perdana menteri berkata dengan adanya semangat patriotisme yang tinggi juga, Malaysia, walaupun cuma sebuah negara yang kecil, akan terus dihormati di persada antarabangsa.

Justeru, beliau berkata walaupun wujud perbezaan pandangan politik atau pendapat dalam kalangan rakyat Malaysia namun apabila menyentuh soal kedaulatan negara, perbezaan itu perlu diketepikan.

"Biarpun terdapat perbezaan pendapat dan politik di kalangan kita tetapi atas nama Malaysia, ketepikan pendapat itu demi negara dan tanah tumpah darah kita.

"Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Dalam soal negara, kita beri rasa kecintaan dan semangat patriotime kepada negara kita," katanya ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang peringkat kebangsaan di sini, malam ini.

Kira-kira 30,000 orang hadir memeriahkan majlis itu yang turut diserikan dengan acara kempen kibar Jalur Gemilang dan persembahan kebudayaaan etnik suku kaum Sabah.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan anggota kabinet negeri Sabah.

Ahmad Zahid seterusnya berkata perbezaaan pendapat diizinkan di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi, bagaimanapun ada tatasusila dan akhlak yang harus dipatuhi.

Mengimbas semula peristiwa berdarah di Kampung Tanduo, Lahad Datu, beliau berkata peristiwa berkenaan merupakan satu daripada contoh terbaik semangat patriotisme ditunjukkan rakyat Malaysia.

Katanya ketika peristiwa itu berlaku, seluruh rakyat tanpa mengira asal negeri mereka, bersatu mempertahankan kedaulatan negara sepenuhnya, khususnya bumi Sabah. Ahmad Zahid berkata semangat patriotisme rakyat Malaysia yang dizahirkan itu menyebabkan kedaulatan negara Malaysia terus dihormati negara luar.

Malah, katanya, semasa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berada di Indonesia baru-baru ini, Najib juga menegaskan pendirian Malaysia yang tidak sekali-kali menyokong pihak luar mencampuri urusan kedaulatan mana-mana negara.

Ahmad Zahid berkata ketegasan Malaysia dalam soal kedaulatannya menyebabkan Malaysia terus disegani dan diiktiraf di peringkat global dengan diberi peranan penting dalam badan dunia.

Sebagai contoh, katanya pada 23 Ogos ini, Malaysia dipilih menjadi Pengerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bagaimanapun Ahmad Zahid mengingatkan rakyat agar semangat patriotisme yang tinggi perlu sentiasa berterusan di dalam jiwa mereka dan bukan pada bulan kebangsaan sahaja.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada