Pucuk Pimpinan Penting Bagi Budaya Inovasi Dalam Perkhidmatan Awam - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Pucuk pimpinan memainkan peranan penting untuk melahirkan budaya inovasi dalam perkhidmatan awam bagi mencapai perubahan yang berterusan dan bermakna dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pucuk pimpinan adalah penting bagi inisiatif inovasi hari ini dalam suasana bekerja yang begitu bersemangat dan bertenaga dengan pemimpin sektor awam diperlukan untuk berfungsi menggunakan sumber yang kurang dan terus mencari cara baharu untuk menangani cabaran.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pemimpin dalam organisasi sektor awam perlu menguasai amalan terbaik daripada organisasi lain, di kedua-dua sektor awam dan swasta, bagi memacu inovasi.

Menggerakkan idea bagi sumber-sumber baharu yang lebih sesuai untuk teknologi hari ini, norma-norma dan jangkaan rakyat akan membolehkan pemimpin dalam sektor awam bertindak balas secara koheren kepada cabaran yang semakin meningkat," katanya.

Dalam ucapan penutup persidangan dwitahunan Pertubuhan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (CAPAM) 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini, Ahmad Zahid berkata usaha melahirkan budaya inovasi melibatkan usaha mengubah bentuk pemikiran lama dan perkara ini akan mengambil masa.

Ahmad Zahid menjelaskan cabaran itu yang datang seiring dengan pertumbuhan organisasi, pengurusan struktur dan birokrasi yang direka untuk menyalurkan pertumbuhan, cenderung untuk mewujudkan halangan.

"Komitmen untuk mewujudkan keadaan psikologi yang tepat untuk inovasi perlu bermula di peringkat atas, yang bermaksud pemimpin perlu mengambil kira amalan mereka sendiri dan peranan mereka dalam mewujudkan proses baharu dan mengubah budaya organisasi mereka.

Memupuk budaya organisasi yang menggalakkan inovasi, mendekati pelanggan untuk mengetahui apa yang benar-benar diperlukan mereka dan mengarahkan inovasi sewajarnya, adalah lebih penting berbanding sebelum ini," katanya.

Ahmad Zahid berkata perkhidmatan awam berprestasi tinggi adalah perkhidmatan dengan kejelasan strategik, pelaksanaan teguh, pengurusan sumber strategik dan prestasi berorientasikan budaya organisasi.

Perkhidmatan awam mesti berupaya untuk melihat ke depan, meramal, merisik dan menggunakan teknologi baharu untuk membuat pembaharuan ke atas sistem penyampaian perkhidmatan," katanya, sambil menambah bahawa inovasi adalah kunci kepada kejayaan pelaksanaan mana-mana inisiatif transformasi kerajaan hari ini.

Ahmad Zahid menegaskan kerajaan Malaysia telah menerima pakai strategi inovasi melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dalam menyampaikan perkhidmatan lebih baik yang menyentuh hati rakyat.

Beliau berkata NBOS telah menjadi sangat berpengaruh dan berkesan dalam mengurangkan kos operasi perkhidmatan awam hari ini selain memupuk budaya inovasi dalam kalangan agensi kerajaan.

Ahmad Zahid berkata beliau melihat persidangan dwitahunan CAPAM sebagai mekanisme yang relevan serta aktif menggalakkan pertukaran idea berkaitan inovasi dalam perkhidmatan awam dalam kalangan negara-negara Komanwel.

"Saya percaya CAPAM boleh memainkan peranan yang berkesan dalam menyemai budaya inovasi dalam sektor awam dengan menganjurkan lebih banyak forum untuk berkongsi amalan terbaik terutamanya dalam kalangan negara Komanwel," katanya.

CAPAM telah ditubuhkan pada tahun 1994 untuk memudahkan perkongsian maklumat dan amalan terbaik antara pentadbiran awam negara-negara Komanwel, di samping menggalakkan tadbir urus yang baik dalam kerajaan.

Persidangan tahun ini bertemakan 'Inovasi: Kepentingan Dalam Perkhidmatan Awam'.

Ini adalah kali ketiga Malaysia menjadi tuan rumah persidangan itu selepas berjaya menganjurkan acara itu pada tahun 2014 dan 1998.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada