Pihak berkuasa sedang kesan 8 bom tangan

KUALA SELANGOR: Pihak berkuasa kini sedang menjejaki lapan bom tangan yang dipercayai masih berada pada pengganas IS di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dua daripada 10 bom tangan itu sebelum ini digunakan dalam serangan di sebuah pusat hiburan di Puchong, pada Jun lalu.

Katanya, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini sedang berusaha menjejaki bom berkenaan sebelum sebarang insiden tidak diingini berlaku.

"Ada 10 bom tangan yang berada di tangan pengganas yang sedang kita jejaki, dua daripadanya sudah digunakan dalam insiden di pusat hiburan Movida di Puchong.

"Kita tidak tahu apa yang berlaku seterusnya, tetapi kita ada pasukan Counter Terrorism yang telah lakukan tugas dengan baik untuk memastikan keselamatan," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Selangor, di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, walaupun ada pihak yang menganggap ia sebagai untuk mengalihkan perhatian daripada isu yang berlaku di negara ini, kewujudan IS adalah ancaman sebenar.

Ketika ditemui selepas majlis, beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, usaha mengesan bom berkenaan turut dilakukan dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kita mahu memastikan rakyat Malaysia tidak terjejas atau terganggu dengan perbuatan mereka.

"Pihak berkuasa sama ada PDRM atau ATM sedang menjejaki mereka dan kita melakukan kawalan keselamatan," katanya.

-BeritaHarian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada