Pasukan Petugas Khas Dibentuk Tangani Pelbagai Isu Labuan - TPM

LABUAN - Sebuah Pasukan Petugas Khas telah dibentuk sebagai platform untuk menyelesaikan beberapa isu yang menyentuh kepada kepentingan rakyat dan pulau Labuan, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata Pasukan Petugas Khas yang dipengerusikan oleh beliau itu akan memulakan perbincangan selewat-lewatnya September ini.

"Kami telah mengadakan perbincangan peringkat awal secara tidak formal bersama Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Unit Perancang Ekonomi (EPU) dan beberapa pegawai kanan kerajaan Persekutuan untuk memulihkan ekonomi Labuan.

"Secara rasminya, saya akan adakan mesyuarat pada minggu pertama bulan depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Labuan, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata anggota Pasukan Petugas Khas itu yang terdiri dalam kalangan menteri Kabinet, juga akan melibatkan anggota Parlimen Labuan, pemimpin kanan Bahagian UMNO Labuan, Ketua Pemuda dan Puteri serta bekas anggota Parlimen Labuan.

"Penglibatan mereka ini amat perlu bagi membolehkan kita menyeragamkan pendapat dan pandangan daripada semua pihak untuk membantu memberi idea baharu dalam mentransformasikan atau merakyatkan akar umbi ekonomi Labuan. Ini masalah kita dan pembabitan mereka adalah penting.

"Kita mahu tekankan kepada merakyatkan ekonomi bukan kapitalis ekonomi yang mementingkan kepada perseorangan atau individu," katanya.

Antara isu bakal dibincangkan adalah sektor minyak dan gas yang merudum, harga barangan pengguna yang tinggi, cukai kastam baharu yang membebankan penduduk Labuan.

Status Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), projek pembangunan Labuan untuk kontraktor tempatan dan permit penerbangan sewa khas dari China ke Labuan untuk pelancong negara berkenaan.

Ahmad Zahid berkata beliau yakin penubuhan pasukan itu akan dapat membantu mencari penyelesaian kepada pemulihan ekonomi Labuan.

"Saya akan pastikan pengeluaran permit untuk penerbangan sewa khas membawa pelancong China ke Labuan dikeluarkan Kementerian Pengangkutan secepat mungkin. Rangkaian perhubungan Labuan harus terus diperbaiki sebagai pemulihan ekonominya.

"Bagi status UMSKAL, kita akan bincangkan secara menyeluruh kerana ia melibatkan kajian dan kertas kerja," katanya.

Berhubung status pulau bebas cukai Labuan, Ahmad Zahid berkata ia harus dikekalkan dan tidak perlu dikaitkan dengan usaha mengekang aktiviti penyeludupan.

"Sekiranya ada usaha memansuhkan status pulau bebas cukai Labuan, saya adalah pemimpin yang akan menentangnya.

"Seharusnya aktiviti penyeludupan diselesaikan dengan penguatkuasaan, bukan pemansuhan status bebas cukai. Sebab, saya tahu masyarakat Labuan tidak melakukan penyeludupan tetapi kemungkinan orang luar," katanya.

Beliau berkata isu itu akan dibincangkan Pasukan Petugas Khas tersebut dengan penglibatan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

"Pengekalan status pulau bebas cukai itu mampu membantu menarik ramai pelancong untuk datang ke Labuan," tegasnya.

Ahmad Zahid juga berkata Labuan akan memberi tumpuan kepada sektor pelancongan bagi program transformasi ekonominya berikutan kejatuhan harga minyak dunia yang membawa kesan kelembapan kepada sektor minyak dan gas pulau itu.

"Dengan kombinasi Menteri Wilayah Persekutuan dan saya sendiri, saya ingin pastikan semua hotel di Labuan akan penuh sepanjang musim bermula tahun depan.

"Tetapi dalam kita mentransformasikan ekonomi ke sektor pelancongan, sektor terdahulu iaitu minyak dan gas tidak juga harus dilupakan kerana jika ia pulih semula, kita harus bersedia untuk memperbaiki kemudahan seperti di Labuan Shipyard dan perkhidmatan perkapalan...ia harus beroperasi aktif semula," katanya.

Ahmad Zahid turut menggesa anggota dan pemimpin UMNO Labuan supaya mengikis dan menyelesaikan perbezaan pendapat dalam memperjuangkan kepentingan parti untuk rakyat.

Dalam pada itu, beliau turut meluluskan peruntukan RM4.5 juta untuk pembinaan dan pembaikan jambatan di perkampungan air dan pembangunan infrastruktur kampung.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada