Pasukan Petugas Bersama Malaysia-UNHCR Ditubuh Tangani Isu Migrasi

PUTRAJAYA - Satu Pasukan Petugas Bersama Malaysia dan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) akan ditubuhkan bagi membolehkan kerjasama berterusan dijalinkan untuk menangani isu migrasi yang kompleks.

Keputusan itu dicapai dalam mesyuarat bagi membincangkan isu-isu UNHCR yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di di sini hari ini.

Menurut kenyataan Pejabat Timbalan Perdana Menteri sempena mesyuarat itu, Pasukan Petugas Bersama itu akan dianggotai pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Luar Negeri dan UNHCR.

Menerusi pasukan petugas itu, kerajaan Malaysia akan bekerjasama dengan UNHCR dalam aspek pendaftaran dan pengeluaran kad UNHCR bercirikan keselamatan tinggi, yang mula dikeluarkan mulai 1 Jun lepas.

"Namun, proses penentuan status pelarian masih menjadi tanggungjawab penuh UNHCR berdasarkan Konvesyen PBB Mengenai Pelarian 1951 dan Protokol 1967," kata kenyataan itu.

Berkuat kuasa 20 Julai lepas, Kabinet memutuskan untuk tidak lagi membenarkan UNHCR mengeluarkan kad UNHCR kepada individu yang membuat permohonan secara 'walk-in'.

Memandangkan pengeluaran kad berkenaan akan melalui langkah-langkah tapisan yang ketat, proses penggantian kad-kad UNHCR lama akan mengambil sedikit masa.

"Tindakan ini bertujuan menangani masalah pengeluaran kad UNHCR palsu," kata kenyataan itu.

Malaysia dan UNHCR menjalin kerjasama selama 41 tahun sejak penubuhan pejabat UNHCR di negara ini pada 1975, susulan kebanjiran pemohon suaka dari Vietnam.

Menurut kenyataan itu, peranan utama UNHCR di Malaysia adalah bagi memproses permohonan status pelarian yang dikemukakan oleh pemohon-pemohon suaka selain bertanggungjawab menyelaraskan penempatan semula pelarian di negara-negara ketiga.

Berikutan UNHCR menghadapi masalah mempercepat proses penempatan semula pelarian di negara-negara ketiga, pelarian yang berada di negara ini dibekalkan dengan kad UNHCR.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada