Parti Pribumi tidak akan pecah belahkan UMNO

PUTRAJAYA - UMNO selaku parti yang menjadi tonggak utama orang Melayu sejak hampir 71 tahun lalu tidak tergugat mahupun gusar dengan kewujudan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, sudah menjadi tanggungjawab sebagai kerajaan yang demokratik untuk menerima kehadiran parti baharu tetapi meramalkan jangka hayat Parti Pribumi tidak akan lama.

"Lazimnya, mengikut putaran sejarah hayat politik, parti serpihan UMNO seperti ini mempunyai jangka hayat yang tidak begitu panjang dan saya harap begitu juga bagi parti baharu ini.

"UMNO sudah pernah mengalami empat saingan daripada parti serpihan sebelum ini iaitu Parti Kemerdekaan Malaya (IMP), Parti Negara, S46 dan PKR. Ini yang kelima.

"Mereka boleh berusaha sebagaimana yang dilakukan untuk memecahkan ahli UMNO apabila parti ini diharamkan pada 1988," katanya pada sidang media, di sini hari ini. Terdahulu, beliau beliau menghadiri Majlis Penyerahan Sistem e-LPS oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar kepada kerajaan negeri Pahang.

Ahmad Zahid berkata, parti baharu itu juga tidak berasaskan kepada ideologi atau berdasarkan falsafah politik parti, sebaliknya bersandarkan kepada dua elemen iaitu kekecewaan dan kemarahan atau memperjuangkan kepentingan satu kelompok atau individu.

"Mengenai penyerahan permohonan bagi penubuhan parti baharu, saya selaku Menteri Dalam Negeri, sudah arahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya menerimanya tanpa prasangka.
Permohonan diterima dengan hati terbuka dan berlapang dada, seperti mana permohonan parti lain baik di Semenanjung atau Sabah dan Sarawak.

"Bagaimanapun, jangan ada mana-mana individu yang mengenakan tekanan kepada ROS untuk kononnya menyegerakan kelulusan permohonan ini sebagai tanda ikhlas ROS atau Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kita mengikut peraturan yang sedia ada," katanya.

Ahmad Zahid menjelaskan, usaha juga dibuat bagi memecahkan ahli UMNO pada 1998, walaupun separa berjaya ketika itu, terbukti roh UMNO tetap utuh.

Namun, beliau menegaskan tidak mahu memperkecilkan usaha mana-mana pihak lawan, jauh lagi mahu merendahkan mereka.

Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden UMNO, berharap ahli UMNO akan terus berusaha menentukan parti itu kekal berada dalam keadaan kukuh dan memperkasa kedudukan dalam komponen Barisan Nasional (BN) dan senario politik negara.

Beliau turut mengingatkan ahli UMNO supaya jangan ambil mudah saingan baharu itu kerana sudah berusia hampir tujuh dekad, sebaliknya perlu memperkukuhkan UMNO dari akar umbi hingga ke pusat supaya boleh hadapi apa sahaja cabaran.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada