Malaysia Sokong Dialog Untuk Pergerakan Global Terhadap Pengeluaran WMD - Ahmad Zahid

NEW YORK - Malaysia menyokong cadangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membangunkan landasan dialog berstruktur di semua peringkat bagi meningkatkan lebih banyak kesedaran, dengan tujuan menjana dorongan yang diperlukan untuk pergerakan global yang kukuh terhadap pengeluaran Senjata Pemusnah Besar-besaran (WMD) kepada pelaku bukan negara.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dialog itu harus melibatkan Anggota Parlimen, pihak industri, ahli akademik dan masyarakat awam.

Beliau berkata demikian pada perbahasan terbuka peringkat tinggi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengenai pengeluaran senjata pemusnah besar-besaran, 'Cabaran Dalam Mendepani Percambahan Senjata Pemusnah Besar-besaran dan Kaedah Penghantaran, Bahan Berkaitan, Peralatan dan Teknologi Kepada Pelaku Bukan Negara' yang dipengerusikannya di ibu pejabat PBB di sini pada Selasa.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Majlis Keselamatan perlu mengakui sumbangan sama penting oleh beberapa pengaturan atau inisiatif antarabangsa dan serantau dalam menangani pengeluaran WMD, khususnya oleh pelaku bukan negara.

"Secara kolektifnya dan menerusi pelbagai pendekatan negara, serantau dan antarabangsa, kita telah mencapai kemajuan besar dan perkembangan ketara dalam maklum balas terhadap isu pelbagai aspek yang kompleks ini," katanya.

Beliau berkata Majlis Keselamatan, selaras dengan tanggungjawab utamanya untuk memelihatan keamanan dan keselamatan antarabangsa, sejajar dengan Tujuan dan Prinsip PBB, memainkan peranan penting dalam hal ini.

"Resolusi 1540 diakui sumbangan bersejarah oleh Majlis Keselamatan dalam bidang pengawalan WMD. Kami memuji Sepanyol, sebagai Pengerusi Majlis Jawatankuasa 1540, atas kepimpinan berkesan dalam proses 'Resolution 1540 Comprehensive Review'.

"Delegasi saya berpendapat bahawa, dalam berbuat demikian dan sambil mengakui ancaman yang ditimbulkan kumpulan pengganas, teras resolusi ini - dalam mencegah percambahan WMD oleh pelaku negara dan bukan negara - perlu dikekalkan," kata Ahmad Zahid yang mengetuai delegasi Malaysia ke mesyuarat itu.

Beliau berkata negara anggota perlu bergerak ke hadapan dengan mengukuhkan usaha global berdasarkan kemunculan ancaman dan cabaran, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi, ICT dan perdagangan antarabangsa.

"Oleh itu, kami menyeru kepada Jawatankuasa 1540 untuk mengkaji semula secara berkala kemajuan perdagangan antarabangsa, saintifik dan berteknologi dalam kawalan berkaitan di bawah UNSCR 1540. Ini akan memastikan sinergi dalam penggabungan pelaksanaan kewajipan negara, dengan mengambil kira risiko eksponen terhadap penyalahgunaan kemajuan ini," katanya.

Resolusi 1540 diterima sebulat suara pada 28 April 2004, menetapkan obligasi di bawah Bab VII Piagam PBB untuk semua negara anggota bagi membangunkan dan menguatkuasakan langkah-langkah sesuai dan berkesan terhadap percambahan senjata kimia, biologi, radiologi dan nuklear serta kaedah penghantaran, khususnya untuk mengelak penyebaran senjata pemusnah besar-besaran itu kepada pelaku bukan negara.

Ahmad Zahid kini dalam rangka lawatan ke Amerika Syarikat dari 22 hingga 26 Ogos bersempena dengan Kepengerusian Malaysia di Majlis Keselamatan PBB untuk bulan Ogos.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim antara mereka yang menghadiri mesyuarat itu.

Dalam sidang media selepas perbahasan terbuka itu, Ahmad Zahid berkata negara anggota secara kolektifnya mempunyai peranan penting untuk dimainkan bagi mengurangkan risiko percambahan senjata pemusnah besar-besaran.

"Saya amat gembira dengan penyertaan lebih 50 negara anggota dalam perbahasan terbuka hari ini, yang mencerminkan kepentingan peringkat tinggi dalam komuniti antarabangsa, dalam agenda ini.

"Sudah terlalu lama, perbincangan mengenai pengawalan WMD telah dikaitkan dengan perkembangan lembap dalam usaha pelucutan senjata sebenar dan sifar percambahan.

"Kita perlu terus membincangkan mengenai bagaimana tanggungjawab kita boleh diterjemahkan kepada tindakan dan langkah-langkah yang akan menghalang daripada kemungkinan berlakunya kemusnahan," katanya.

Beliau berkata satu langkah praktikal adalah dengan sentiasa menyemak semula peraturan keselamatan kimia dan biologi, kawalan eksport dan unsur-unsur pembiayaan pengawalan senjata di bawah Resolusi 1540 selari dengan kemajuan perdagangan antarabangsa, sains dan teknologi yang relevan.

"Dalam hal ini, saya berpuas hati dengan perbahasan terbuka hari ini yang menonjolkan perkara di mana kerjasama praktikal boleh diteruskan dan memperkukuhkan perbincangan antaranya, cabaran yang dihadapi oleh bahan-bahan berkaitan pengawalan WMD.

"Tambahan pula, idea membangunkan landasan dialog berstruktur antara negara anggota, Anggota Parlimen, pakar industri, ahli akademik dan anggota masyarakat awam mengenai peraturan kemunculan risiko percambahan, perlu dipertimbangkan," katanya.

Ahmad Zahid berkata Majlis Keselamatan juga sangat menyokong inisiatif praktikal dalam menyesuaikan bantuan, pembangunan kapasiti dan latihan diperlukan untuk menambah baik pelaksanaan yang akan membawa kepada sinergi lebih baik antara negara berkeperluan dan pemberi bantuan.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Polis, masyarakat berpisah tiada