Malaysia Minta Thai Kemuka Senarai Dwi Warganegara Bersama Butiran Biometrik

BANGKOK - Malaysia meminta Thailand mengemukakan senarai rakyatnya yang didakwa memiliki dwi kewarganegaraan bersama-sama dengan butiran Bio Metrik mereka bagi membolehkan isu terbabit diselesaikan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata adalah sukar untuk menyelesaikan isu itu tanpa butiran Bio Metrik individu yang didakwa memiliki dwi kewarganegaraan.


"Malaysia bersedia untuk bekerjasama (dengan Thailand dalam isu dwi kewarganegaraan) jika butiran Bio Metrik disertakan bersama kerana kita ada sistem yang boleh menyemak.

"Sistem Jabatan Pendaftaran Negara yang mengguna sistem Bio Metrik akan memudahkan verifikasi. Jika tiada (butiran Bio Metrik) adalah sukar untuk dilaksanakan," katanya kepada media Malaysia selepas tamat lawatan kerja dua harinya ke Thailand hari ini.


Hari ini Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri bertemu dengan dua Timbalan Perdana Menteri Thailand, Wissanu Krea-ngam dan Jen Prawit Wongsuwan yang juga Menteri Pertahanan negara itu.

Kedua-dua negara, katanya, hanya membenarkan satu kerakyatan bagi setiap warganegara.

Beliau berkata isu dwi kewarganegaraan Malaysia dan Thailand itu akan dibawa pada mesyuarat Jawatankuasa Kerja Bersama di Kuala Lumpur tahun ini untuk diperincikan bagi mencari jalan penyelesaian.

Ahmad Zahid berkata terdapat dakwaan mereka yang memiliki dwi kewarganegaraan itu terlibat dalam kes-kes perundangan dan jenayah rentas sempadan.

Laporan-laporan sebelum ini terutamanya daripada media Thailand turut mendakwa individu yang memiliki dwi kewarganegaraan itu terlibat dengan kegiatan militan di wilayah bergolak selatan negara itu.

Ditanya sama ada terdapat tempoh masa untuk menyelesaikan isu dwi kewarganegaraan itu, timbalan perdana menteri berkata: "ia adalah open-ended (terbuka) berdasarkan pertukaran maklumat kedua-dua negara."

Dalam isu lain, beliau berkata Malaysia turut membangkitkan kegusarannya tentang 'pembolosan' di sempadan kedua-dua negara yang dianggap tidak sepatutnya berlaku membabitkan dadah, senjata dan pemerdagangan manusia.

Katanya tembok dan pagar sempadan akan dibina di sempadan kedua-dua negara untuk mengelak pembolosan daripada berlaku.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa tertinggi melibatkan pelbagai agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkaitan isu sempadan itu.

Katanya Malaysia dan Thailand juga bersetuju untuk menjalin kerjasama di bawah skim Pemindahan Antarabangsa Banduan menerusi penghantaran banduan Thailand di Malaysia ke penjara di negara asal mereka.

Pada ketika ini, katanya, terdapat 799 banduan Thailand yang sedang ditahan di penjara-penjara Malaysia dengan 79 daripada mereka layak dipindah balik ke penjara di negara asal mereka.

Timbalan perdana menteri berkata selain itu terdapat 31 rakyat Thailand sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati di penjara-penjara Malaysia.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada