Ketepikan perbezaan politik demi negara - Zahid

TAWAU - Rakyat perlu mengenepikan perbezaan politik dalam soal kecintaan terhadap negara dengan menumpukan semangat patriotik serta bersatu padu, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, meskipun berbeza pendapat dan politik, setiap rakyat harus memiliki semangat patriotisme tinggi demi nama Malaysia dan kedaulatan negara.

"Ini negara kita, tanah tumpah darah kita kerana di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jangan kerana kita berbeza pendapat, program kerajaan negeri dan Persekutuan dianggap sebagai program politik... ini bukan politik.

"Kita boleh berbeza pendapat tetapi untuk negara, kita utamakan semangat patriotisme... kita ketepikan politik demi rasa cinta kepada Malaysia, sama-samalah kita kibarkan Jalur Gemilang," katanya ketika melancarkan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini, malam tadi.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk Kebangsaan sambutan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Peringkat Negeri Sabah, Datuk Hajiji Noor.

Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang berlangsung meriah dengan pelbagai persembahan membabitkan lebih 400 penari, selain nyanyian kumpulan PENTARAMA daripada Jabatan Penerangan, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) serta Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS).

Persembahan yang turut menarik perhatian ialah acara kawad senyap oleh Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (PSTLDM) Tawau yang dijayakan 32 orang anggota.

Ahmad Zahid berkata, perbezaan pendapat diizinkan tetapi ada cara dan etika yang harus diikuti bagi memastikan ia tidak menjejaskan semangat patriotik dan usaha mempertahan serta mengukuhkan kedaulatan negara.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, antara langkah kerajaan Pusat dan negeri mewujudkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) adalah untuk memastikan tiada pihak berniat membawa Sabah keluar dari Persekutuan.

"Jangan ada individu atau bekas tokoh mahu bawa Sabah keluar yang menyebabkan kerajaan berada dalam keadaan tidak menentu. Sekali kita taat maka ketaatan itu harus diterjemahkan kepada sokongan tidak berbelah bahagi kepada kerajaan," katanya.

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada