Kerajaan Teliti Keperluan Robot Dan Dron Untuk Polis - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA - Kerajaan akan meneliti aset moden yang diperlukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam era kepolisan moden kini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kementeriannya itu telah menerima cadangan daripada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkaitan penambahbaikan kekuatan PDRM seperti pembelian robot dan dron.

"Kita akan meneliti semua aset yang diperlukan seperti penggunaan robot dan dron dapat dilaksanakan. Namun ia tertakluk kepada kelulusan dan bajet yang diberikan Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Sebelum itu, Ahmad Zahid berucap menutup Persidangan Antarabangsa mengenai Strategi Lautan Biru (ICBOS) yang diadakan sempena Minggu Antarabangsa NBOS 2016 yang bermula Ahad lalu dan berakhir hari ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Persidangan itu memberi tumpuan kepada kreativiti dan inovasi bagi menggubal dan melaksanakan dasar dan inisiatif nasional di samping menampilkan ucaptama, perbincangan panel oleh pemimpin-pemimpin negara, penceramah terkenal dan pakar-pakar di peringkat global dari seluruh dunia.

Semalam, sewaktu di luar acara ICBOS, Khalid berkata adalah menjadi impian mereka agar masa depan kepolisian dapat dinaik taraf dan ditingkatkan melalui teknologi moden seperti robot dan dron yang telah dibangunkan negara-negara lain.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada