KDN Perkasa Kawalan Sempadan Malaysia-Thailand - Ahmad Zahid

PASIR MAS - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan terus memperkasa kawalan sempadan Malaysia-Thailand terutama di Kelantan bagi membanteras aktiviti penyeludupan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata kini terdapat kira-kira 10,000 anggota keselamatan ditugaskan di kawasan sempadan bagi mengawal aktiviti pemerdagangan manusia, pembolosan senjata api dan dadah.

"Jika dahulu hanya ada 997 anggota Unit Pencegahan Penyeludupan (kini dikenali sebagai Agensi Kawalan Sempadan Malaysia) tapi sekarang ada kira-kira 10,000 anggota.

"Saya (juga) menggerakkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertukar setiap sebulan sekali (bagi tujuan itu)," katanya ketika berucap pada majlis pemimpin bersama rakyat dan perasmian persidangan perwakilan UMNO Bahagian Rantau Panjang di Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Pasir Mas, di sini, Jumaat.

Majlis pemimpin bersama rakyat itu yang dihadiri kira-kira 15,000 hadirin turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed dan timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang Senator Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Ahmad Zahid berkata prosedur operasi standard (SOP) bagi anggota tetap AKSEM turut ditambah baik dengan melakukan pertukaran anggota setiap tiga bulan sekali bagi mengelak mereka bersekongkol dengan penyeludup.

Beliau berkata ramai pihak yang mempertikaikan tahap keselamatan di sempadan negara tanpa mengetahui hakikat sebenar kesukaran yang dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan tugas tersebut.

"Sempadan kita sepanjang 776 kilometer. Ada yang kata kenapa tak buat tembok ataupun pagar, tapi masalahnya penyeludup potong (pagar)," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan penduduk di sempadan agar mengutamakan pengambilan pekerja tempatan berbanding warga asing sebagai salah satu langkah mencegah aktiviti penyeludupan daripada berleluasa.

"Kalau kita rasa ini bumi kita, maka ia (pengambilan pekerja tempatan) kena jadi keutamaan kepada kita. Sebarang kerja perlu diberikan kepada orang kita sendiri dan kita di sempadan jangan bersekongkol dengan penyeludup," katanya.

-BERNAMA

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada