Inisiatif Malaysia galak dialog, kerjasama kawal WMD: TPM

NEW YORK: Malaysia mengambil inisiatif menganjurkan perbahasan terbuka Pengawalan Senjata Pemusnah Besar-Besaran (WMD) bagi mengelak senjata itu digunakan kumpulan militan IS dan non-state actor (pelaku bukan negara) sehingga dunia porak-peranda.

Pelaku itu mungkin membabitkan individu atau organisasi yang mempunyai kuasa ekonomi, politik atau sosial serta berpengaruh di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, tetapi tidak tergolong atau bersekutu dengan mana-mana negara atau negeri tertentu yang menggunakan keganasan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata debat terbuka itu bertujuan menggalakkan dialog dan kerjasama lanjut mengenai pengawalan, terutama risiko percambahan senjata pemusnah besar-besaran kepada pelaku bukan negara.

"Seramai 63 pembahas dari lebih 50 negara menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon akan membentang dan menjadi pembahas pertama WMD ini.

"Pembahas dijangka menyentuh beberapa WMD yang pernah berlaku dan sedang dipantau PBB dan jika tiada kawalan, masyarakat dunia akan porak-peranda," katanya pada sidang media sebaik tiba di hotel penginapan, di sini, hari ini.

Yang turut hadir Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dan Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Ramlan Ibrahim. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan PBB yang membahaskan isu WMD itu, selaku pemilihan Malaysia sebagai presiden majlis berkenaan bagi bulan Ogos.

Timbalan Perdana Menteri yang ditemani isteri, Datin Seri Hamidah Khamis dalam lawatan kerja lima juga akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Pertama yang juga Menteri Luar Negeri Republik Serbia, Ivica Dacic.

Beberapa calon yang ingin bertanding jawatan Setiausaha Agung PBB, termasuk dari Slovenia, Bulgaria, Slovakia, Argentina, dan Macedonia juga ada meminta untuk mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri.

"Sebagai ahli Majlis Keselamatan, Malaysia memainkan peranan penting dalam memilih seterusnya Setiausaha Agung, yang akan diputuskan pada akhir tahun ini," katanya.

Ditanya mengenai calon yang disokong negara, Ahmad Zahid berkata, Malaysia percaya kepada keperluan untuk proses pemilihan secara telus dan inklusif.

-Berita Harian

Popular posts from this blog

Kes bunuh Intan Suraya Mawardi: Syarikat kawalan keselamatan diarah kemuka surat tunjuk sebab

Pekerjaan Sektor 3D Perlu Ditransformasi

Polis, masyarakat berpisah tiada